REV Media Group, UiTM Meterai Kerjasama Perkukuh e-Sukan


Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Rafiq Razali (dua dari kanan) dan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim (dua dari kiri) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara REV Media Group dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di UiTM Shah Alam. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Iskandar Mizal Mahmood (kanan) dan Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah (kiri)

SHAH ALAM: REV Media Group dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai kolaborasi pertama, sekali gus memperkukuhkan usaha menggalakkan pembangunan bidang akademik, kebudayaan, dan penyelidikan atas dasar keuntungan bersama dan saksama. Ketua Pegawai Eksekutif REV Media Group, Rafiq Razali, berkata dengan industri sukan elektronik (e-sukan) negara yang semakin berkembang, ia mencetuskan peluang kerjaya, punca pendapatan yang hanya melalui minat.

“Perkembangan ini membuktikan bermain ‘game’ (permainan) bukan aktiviti sia-sia, tetapi mencipta peluang kepada seseorang untuk menjadi atlet, pengulas sukan, pembangun aplikasi dan lain-lain,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara REV Media Group dan UiTM di UiTM Shah Alam di sini, hari ini. UiTM diwakili Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim dengan disaksikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Bhd (Media Prima), Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Timbalan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah.

Rafiq berkata, kerjasama dengan UiTM sudah bermula sejak pertengahan 2018 apabila pihaknya menjadi tuan rumah kejohanan e-sukan kampus di UiTM Melaka dan Puncak Alam. “Kami berharap dapat mendidik, memupuk dan memberi pendedahan tentang industri e-sukan untuk golongan akademik dan pada masa sama menyokong inisiatif permainan dan e-sukan di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azraai berkata, MoU itu dilihat satu kerjasama membabitkan industri akademik yang memberikan hasil positif terutama dalam perkembangan e-sukan. “Dengan penganjuran tiga kejohanan e-sukan sebelum ini, acara itu menggerakkan minat segar dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). “Secara tidak langsung ini akan mengembangkan lagi penyelidikan, mewujudkan aplikasi baharu dalam e-sukan, teknologi digital, UiTM akan menjadi rakan strategik untuk menggerakkan e-sukan untuk seluruh IPT seluruh negara,” katanya.

Katanya, menerusi hubungan kerjasama itu, ia dilihat memberikan prospek cerah untuk masa hadapan bagi perkembangan e-sukan dan teknologi kreatif.”Ini bukan saja membuka peluang kepada pendidikan pelajar, tetapi kepada REV Media Group dan UiTM untuk ke peringkat antarabangsa dan melahirkan bakat dalam bidang kreatif dan e-sukan,” katanya.

Sumber:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/721222/rev-media-group-uitm-meterai-kerjasama-perkukuh-e-sukan