Syed Akmal Fikri dan Nur Ain Nabilah dinobat Olahragawan, Olahragawati UiTM 2019

SHAH ALAM:  Atlet petanque negara Syed Akmal Fikri Syed Ali dan atlet boling padang wanita negara Nur Ain Nabilah Tarmizi hari ini dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Universiti Teknologi Mara (UiTM) 2019.

Kedua-dua pemenang membawa pulang sijil, trofi serta hadiah wang tunai RM1,500 yang disampaikan Naib Canselor UiTM Profesor Ir Dr Mohd Azraai Kassim pada majlis anugerah itu. Syed Akmal Fikri, 23, bersama skuad petanque lelaki negara beraksi cemerlang apabila memenangi pingat emas  dalam acara triples lelaki di kempen Sukan SEA ke-30 di Filipina pada Disember tahun lepas.

Selain beliau, skuad negara turut dibarisi Muhammad Hafizuddin Mat Daud dan Saiful Bahri Musmin. Nur Ain Nabilah, 22, turut mencipta kemenangan di Sukan SEA apabila menyumbang emas dalam acara boling padang. Nur Ain Nabilah bersama tiga lagi pemain negara iaitu Siti Zalina Ahmad, Afiqah Dayana Budiman dan Syafiqah Haidar Afif Abdul Rahman menyumbang emas pertama Malaysia dalam sukan itu selepas menewaskan Filipina 17-6 dalam acara Women’s Four.

Sementara itu, Mohd Azraai dalam ucapannya berkata UiTM akan terus memainkan peranan proaktif untuk meningkatkan prestasi dan pencapaian atlet kebangsaan menerusi kajian serta penyelidikan saintifik berkaitan bidang sukan.Beliau berkata program pembangunan fizikal turut disediakan untuk atlet UiTM yang mana secara tidak langsung dapat membentuk ‘the thinking athlete’ yang bijak mengurus diri, emosi serta masa secara profesional sebagai seorang pelajar dan atlet.

“UiTM bukanlah nama asing dalam arena sukan negara kerana atlet dan pasukan UiTM sering mendapat perhatian media menerusi laporan kemenangan dan pencapaian dalam pertandingan yang disertai. “Saya percaya kejayaan mereka ini merupakan manifestasi terhadap kesungguhan dan komitmen pihak universiti bersama para atlet serta pihak pengurusan sukan dalam meningkatkan prestasi UiTM sekali gus memberi impak positif kepada pencapaian sukan negara.”

Sumber:
https://www.bernama.com/bm/sukan/news.php?id=1870459&fbclid=IwAR0goXSMSZwstZCO8sfh-G2UzrkqvBK2UNOd2NLc3o9F2iJW_IrlmVccxtQ#.XzaIAjEqczY.whatsapp

0
0