Pada 23 November 2023 yang lalu, Program Pengajian Pengurusan Hartanah, Jabatan Alam Bina dan Teknologi, UiTM Perak telah berjaya menganjurkan seminar Property Talk 2023 bertempat di Dewan Al Kwarizmi, Bangunan Ukur Bahan, di Kampus UiTM Seri Iskandar, Perak Darul Ridzuan.
Penganjuran yang dimulakan pada tahun 2018, bertujuan menjurus sebagai landasan pemegang taruh dan ahli akademik membincangkan isu dan cabaran dalam sektor pembangunan hartanah di negara ini. Tahun 2023 merupakan kali ke-tiga penganjurannya dan pada kali ini tema yang telah diketengahkan adalah Property Talk 2023: “Strengthening the Roles of Valuers, Assessors, Real Estate Agents, and Property Managers in Facing Current Challenges”.
Pemilihan tema kali ini adalah bagi memberikan pendedahan terkini kepada para peserta melalui perbincangan terhadap cabaran profesyen sebagai ahli Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta Berdaftar yang wujud dalam pelbagai aspek dan perlu dimantapkan melalui proses penambahbaikkan secara berterusan. Program ini mensasarkan empat profesyen utama dalam sektor hartanah iaitu penilai, pentaksir, ejen hartanah serta pengurus harta seperti yang termaktub di dalam Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta 1981 (Akta 242) Malaysia, samada yang terlibat dalam sektor swasta, kerajaan, dan juga akademik yang menjurus kepada akademia serta pelajar dalam bidang pengurusan harta tanah.
Program ini telah disertai oleh seramai 280 orang peserta yang terdiri majoritinya daripada perunding-perunding bidang hartanah pihak industri, pegawai-pegawai agensi-agensi kerajaan, para akademia, rakan-rakan alumni, serta wakil pelajar-pelajar pengurusan Hartanah dari seluruh Malaysia.
Objektif-objektif lain yang turut tercapai adalah dalam memberi pendedahan pada pelaksanaan pendekatan dan peranan terkini seorang Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta Berdaftar yang berjaya dalam sektor pembangunan hartanah di Malaysia. Disamping itu juga program ini dapat meningkatkan penguasaan tenaga pengajar atau akademia dalam amalan iktisas. Dengan ketersediaan panel-panel pakar yang dijemput, para peserta telah mendapat sebanyak mungkin pengetahuan untuk memahami situasi sebenar dan cabaran profesyen dalam industri hartanah, terutama bergerak ke arah masa depan yang mencabar dengan perubahan dalam polisi dan lanskap pembangunan hartanah yang sedang berkembang.
Antara tajuk daripada barisan panel yang dibentangkan adalah seperti berikut:
1. “Mastering Estate Management Excellence: Navigating Universal Challenges and Industry Best Practices”
2. “Strategies for Effective Estate Management in the Dynamic Landscape of Malaysia: Addressing Challenges and Maximizing Value”
3. “Navigating the Evolving Landscape of Real Estate Agency in Malaysia: Challenges and Solutions”
4. “Effective Property Management Strategies in the Face of Evolving Challenges in Malaysia”
Program yang bertaraf kebangsaan ini juga dapat mempersiapkan pelajar-pelajar tahun akhir Ijazah Pengurusan Hartanah di UiTM dan lain-lain IPTA/IPTS dibidang pengurusan hartanah, agar lebih bersedia untuk menempuh alam pekerjaan diperingkat industri dan juga kerajaan selepas bergraduasi nanti.
Program turut dirasmikan oleh YBhg Rektor UiTM Perak, Prof Madya Dr Nur Hisham Ibrahim. PMP. Beliau yang diiringi oleh Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Dr Muhamad Abdul Aziz Ab. Gani, turut menitipkan hasrat dan harapan terbesarnya dalam ucapan aluan perasmiannya iaitu semoga perkongsian dan pemindahan pengetahuan dapat berlaku secara berterusan demi meningkatkan pengetahuan bidang hartanah melalui idea-idea kreatif dan praktikal dapat dihasilkan serta diterapkan dalam industri hartanah dimasa-masa akan datang.
Sebagai penutup, program ini telah mendapat maklumbalas serta pujian atas pengajuran yang baik daripada semua tetamu khas, barisan panel yang dijemput, para peserta dan juga pihak rakan-rakan strategik yang turut memberikan kerjasama dan sokongan. Tidak lupa juga penghargaan kepada semua ahli-ahli urusetia Property Talk 2023 kali ini yang turut dibantu oleh koordinator-koordinator Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, JBAT, UiTM Perak.
Laporan oleh: Dr Hairul Nizam Mansor (Pengarah Program Property Talk 2023) Pensyarah Kanan, Pengajian Pengurusan Hartanah, JBAT, UiTM Perak.