Program Piala Casuarina Cungkil Bakat Sukan Pelajar UCS

Puncak Alam, 28 November 2023 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Casuarina UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah melangsungkan Program Piala Casuarina yang dijayakan bersama Hotlink, Dod Sports dan rakan kolaborasi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) selama tiga hari berturut-turut bermula 24 November 2023 hingga 26 November 2023. Program itu telah mempertandingkan 2 acara sukan outdoor iaitu futsal dan bola tampar, serta 2 acara sukan e-sport iaitu Mobile Legends dan Fifa.

Pengarah Program Piala Casuarina, Saudara Arif Aminuddin Mohamad Nata berkata, objektif utama program ini dijalankan adalah bagi menggalakkan mahasiswa untuk bergiat aktif dalam aktiviti sukan dan rekreasi serta memberikan semangat kebersamaan bagi merapatkan ukhwah antara pelajar. Beliau juga merakamkan sekalung pernghargaan terima kasih dan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menyusun program ini, daripada pihak penyelenggara hingga kepada seramai 3,829 peserta dan penonton yang memeriahkan acara.

En. Irwan Zakaria selaku Pengetua Kolej Kediaman Angsana Casuarina UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah berbesar hati menyempurnakan dua program anjuran JPK Casuarina yang berlangsung serentak iaitu Piala Casuarina dan Casuarina Food Fiesta sewaktu majlis perasmian yang berlangsung di Dewan Serbaguna Angsana, Kompleks Kemudahan Pelajar Angsana.

Sebanyak 10 kumpulan yang bertanding bagi setiap acara bersaing bagi merebut gelaran juara. Acara Peringkat Akhir e-sukan Fifa yang bertempat di Kompleks Kemudahan Pelajar Angsana pada 25 November 2023 (Sabtu), mengangkat pasukan Isba selaku juara mengalahkan pasukan The Bottlers di peringkat akhir pertandingan. Pada hari yang sama, pasukan Pinjam Seratus VC dinobatkan selaku juara bagi pertandingan bola tampar yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar (perkarangan Kolej Casuarina). Manakala, acara futsal menobatkan Teh FT sebagai juara mengalahkan Ochobot FT di tempat kedua pada 26 November 2023 (Ahad) bertempat di Gelanggang Futsal (perkarangan Kolej Casuarina). Acara sukan e-sports Mobile Legends yang berlangsung di Kompleks Kemudahan Pelajar Angsana, telah memperlihatkan pasukan Sixth Sense selaku juara mengalahkan pasukan Team Silver Lining dan menjadi penutup bagi keseluruhan program Piala Casuarina yang berlangsung selama tiga hari.