Projek KAMU (Karya Anak Muda UiTM) kembali lagi

SHAH ALAM – Setelah hampir empat tahun tidak dijalankan, kini Projek KAMU (Karya Anak Muda UiTM) kembali lagi menemui pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Projek ini tidak asing lagi dalam kalangan mahasiswa. Ia menyediakan ruang kepada para pelajar dari pelbagai fakulti untuk meneroka bidang teater dan pengurusan teater di sini.

Tujuan projek ini dianjurkan bagi mengasah bakat terpendam selain menambah kemahiran yang boleh dipraktikkan dalam jurusan yang diambil pelajar terbabit.

Malah, ia turut menyediakan ruang untuk pelajar mengetengahkan idea baru dalam persembahan teater skrip hasil cetusan ilham dan tulisan mereka akan digunakan untuk pementasan ini.

Pada tahun ini, projek yang berlangsung buat kali kelapan dipentaskan selama dua hari berturut-turut. Ini merupakan Projek KAMU 8 setelah sekian lama tergendala akibat pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurut pengarah projek, Eisha Batrisyia Shahrul Radzlin berkata, projek ini juga adalah hasil karya anak muda yang dicungkil dan dipentaskan dengan tujuan mengasah kreativti mereka.

“Bukan hanya mencari karya, kami juga memberi peluang kepada pelajar yang berbakat dalam bidang pengarahan dan lakonan untuk menonjolkan kemampuan mereka,“ katanya.

Untuk projek kali ini, terdapat tiga kategori teater yang dipersembahkan, iaitu monodrama, monolog dan juga teater pendek. Bagi persembahan monodrama, iaitu Kasih Ayah, dan “Ter…”. Ada juga persembahan monolog Garis Luka dan yang dinanti-nantikan teater berjudul Protes.

Eisha berkata, program anjuran Anomalist Piece ini bukan hanya fokus kepada penulisan skrip, pengarah dan lakonan semata-mata sebaliknya ada pelbagai lagi kelebihan.

“Anomalist Piece adalah sebuah Kelab Pengurusan Seni bagi pelajar yang berminat menguruskan acara seni terutama teater,“ tambahnya lagi.

Program ini telah dipentaskan di Studio Kamar Muzik, Pusat Kebudayaan, UiTM Shah Alam pada Jumaat (9 Jun) dan Sabtu (10 Jun) jam 8.45 malam. Dengan konsep yang minimalis dan tempat yang terhad, kelab ini berjaya mengumpulkan 100 tiket untuk kedua-dua hari pementasan. Mereka juga menggunakan hashtag yang unik, iaitu #projekstudiokamarsempit.

Apa yang menariknya di sini, barisan pelakon yang dipilih hasil daripada Bengkel Asas Seni Lakonan yang dianjurkan oleh Kelab Pengurusan Seni Anomalist pada 20 dan 21 Mei, bermula jam 8 pagi sehingga 6 petang ini sendiri adalah hasil nasihat dan tunjuk ajar jurulatih jemputan, En. Mohd Azim Sharim serta Penasihat Kelab, En. Muhammad Salehudin Moh Esa, yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan kanan di Pusat Kebudayaan UiTM.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti kelab ini, boleh dapati menerusi Instagram (https://www.instagram.com/anomalistpiece/?hl=en) dan Twitter @anomalistpiece.