UiTM Melonjak 102 Anak Tangga Dalam QS World University Rankings 2024

UiTM mencatat rekod baharu apabila berjaya melonjak 102 anak tangga daripada kedudukan pada tahun lepas dan mencapai kedudukan ke-555 dalam QS World University Rankings 2024. Pada tahun ini, 2,963 institusi telah dinilai di 104 lokasi seluruh dunia dengan peningkatan lebih 500 institusi baharu berbanding 2,462 institusi pada tahun lalu. Lonjakan kedudukan ini telah menjadikan UiTM antara 37% teratas daripada 1,503 institusi seluruh dunia yang menerima kedudukan tahun ini.

QS World University Rankings mengukur prestasi universiti berdasarkan sembilan indikator, iaitu reputasi akademik, sitasi setiap fakulti, reputasi majikan, hasil pekerjaan, nisbah pelajar-fakulti, fakulti antarabangsa, rangkaian penyelidikan antarabangsa, pelajar antarabangsa, dan kemampanan. Daripada indikator ini, reputasi majikan terus menjadi indikator terkuat UiTM apabila ia melonjak 11 anak tangga untuk mencapai kedudukan ke-184 berbanding kedudukannya pada 195 di seluruh dunia tahun lepas. Bagi tahun keempat berturut-turut, UiTM juga meningkatkan kedudukannya bagi reputasi akademik apabila mendaki 14 anak tangga untuk mencapai kedudukan ke-303 daripada kedudukan ke-317 tahun lepas.

Dalam konteks tempatan pula, UiTM meraikan lima institusi baharu yang menerima kedudukan di dalam QS World University Rankings 2024. Berbanding dengan 24 institusi tempatan pada tahun lepas, 28 institusi tempatan telah disenaraikan tahun ini. UiTM telah mencapai peningkatan sebanyak dua anak tangga berbanding tahun lepas dalam mencapai kedudukan ke-10 terbaik di Malaysia. Tujuh universiti tempatan termasuk UiTM telah meningkatkan kedudukan di dalam QS WUR 2024.

“Tahun ini merupakan pencapaian terbaik UiTM sejak pertama kali menyertai QS World University Rankings,” kata Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor. “Sukar untuk saya ungkapkan betapa bangganya kami dengan pencapaian ini, yang merupakan hasil penyusunan strategi dalam melakukan yang terbaik untuk pemegang taruh UiTM. Ini jelas menunjukkan bahawa UiTM sememangnya berada pada landasan yang betul ke arah menjadi Universiti Terkemuka Dunia menjelang 2025,” katanya lagi.