Projek CSR Winorun Green UiTM Cawangan Sabah

TAWAU, 16 Mac 2023 – Pejabat Rektor & Bahagian Pentadbiran UiTM Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu dengan Kerjasama Kampus Tawau, Majlis Perbandaran Tawau telah mengadakan Projek CSR Winorun Green UiTM Cawangan Sabah di sekitar persisir pantai Bandar Tawau. Projek CSR Winorun Green yang diketuai Rektor UiTM Cawangan Sabah, Datuk Prof Madya Dr. Hj Abdul Kadir Hj Rosline disertai oleh 25 staf UiTM Cawangan Sabah yang membersihkan kawasan sekitar persisir pantai, longkang dan kawasan riadah awam.

Program ini bertujuan membantu pemuliharaan kawasan persisir pantai, memelihara hidupan laut dan membantu komuniti setempat memelihara persekitaran yang bersih dan sihat. Selain mengurangkan pencemaran bahan terbuang khususnya plastik, objektif program ini juga adalah untuk menyemai semangat kerjasama bergotong-royong membersihkan kawasan pantai, di samping meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup yang sihat selain membawa nilai murni sayangkan alam sekitar kepada masyarakat.

Projek ini merupakan salah satu usaha positif dan mampu memberi kesedaran kepada komuniti tentang pentingnya penjagaan alam sekitar khususnya memelihara persekitaran laut yang membekalkan banyak jenis habitat yang menyokong hidupan laut serta mengelakkan pencemaran bak kata pepatah sedikit sedikit tekun, lama- lama menjadi bukit.