Audit Pematuhan Swaakreditasi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Status swaakreditasi yang diperoleh oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 2 Januari 2017 adalah bukti kecemerlangan kualiti pendidikan yang dihasilkan oleh universiti ini. Status swaakreditasi memberikan keistimewaan kepada UiTM untuk mengakreditasi program-program pengajiannya sendiri, kecuali program-program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang relevan. Ini adalah sesuai dengan peruntukan undang-undang bagi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang melaksanakan perkara-perkara yang berkaitan dengan swaakreditasi, yang termaktub dalam Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679). Dengan keistimewaan ini, UiTM akan dapat memperkukuhkan lagi kedudukan dan reputasi sebagai sebuah universiti yang terkemuka dalam bidang pendidikan dan penyelidikan di Malaysia dan di seluruh dunia.

Audit pematuhan swaakreditasi telah dijalankan di Bangunan Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin UiTM Shah Alam pada 13-15 Mac 2023 dan akan bersambung semula di kampus-kampus cawangan pada bulan Jun nanti. Audit tersebut melibatkan panel auditor yang terdiri daripada individu yang berpengalaman, iaitu Profesor Dr. Azlinda Azman, Profesor Dr. Shahrin Mohamad, Profesor Dr. Alan Ong Han Kiat, Profesor Madya Dr. Firuza Begham Haji Mustafa, dan Profesor Madya Dr. Che Aniza Che Wel.