Projek Asnafpreneur UCPh-MIB: Penilaian Amali SKM Tahap 2

Projek Asnafpreneur UCPh-MIB merupakan projek pembangunan keusahawanan pelajar asnaf UiTM Cawangan Pahang. Projek ini dikawal selia oleh AJK perancangan strategik MASMED UiTM Cawangan Pahang yang mendapat tajaan geran industri dari Maybank Islamic Berhad. Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar mempelajari kemahiran yang mampu membantu mereka untuk meningkatkan taraf ekonomi dan menjana pendapatan sampingan. Ini merupakan julung kalinya projek seperti ini dianjurkan di atas inisiatif pihak MASMED UiTM Cawangan Pahang.

Pada 4 November 2023, seramai 20 orang pelajar yang mengikuti Kursus Dandanan dan Gunting Rambut telah menduduki Penilaian Amali bagi melayakkan mereka memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2. Kesemua pelajar ini telah mengikuti kursus tersebut di bawah kelolaan Puan Hajah Siti Rohani Othman dari syarikat Hani D Unggul Sdn. Bhd. yang merupakan pengajar terlatih untuk bidang Dandanan dan Gunting Rambut.

Peperiksaan ini telah dijalankan di HanRu Salon Studio,Temerloh. Puan Ernie Eddina @ Seri binti Idrus telah dilantik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran sebagai Pegawai Penilai Latihan untuk melihat kemampuan dan kemahiran pelajar dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Setiap pelajar diberikan selama lebih kurang tiga jam untuk menyelesaikan tugasan amali dan kemudian diikuti dengan sesi soal jawab.

Keputusan penilaian telah diumumkan pada hari yang sama di mana semua pelajar telah lulus dengan cemerlang dan memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2. Diharapkan dengan sijil yang ada ini, pelajar dapat meningkatkan kemahiran diri dan memberi inspirasi kepada semua untuk terus maju dalam bidang yang diceburi.