PROJEK AGROPRENEUR MUDA BERSAMA PUSAT AKTIVITI KANAK-KANAK (PAKK) KUALA MUDA FASA 2

Projek Agropreneur Muda Fasa 2 telah dilaksanakan pada 10 September 2022. Projek fasa 2 ini merupakan susulan projek Fasa 1 yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dengan kerjasama Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Kuala Muda  pada 13 Ogos 2022. Program ini juga dilaksanakan dengan hasil kerjasama pihak Pejabat Pertanian daerah Seberang Perai Utara, Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Seberang Perai Utara, Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) daerah Seberang Perai Utara serta Pasukan Sukarelawan Orang Muda (PSOM).

Aturcara projek fasa 2 ini dimulakan dengan membawa semua peserta yang terlibat dengan projek fasa 1 ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Ara Kuda. Tujuan utama lawatan ini dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan secara dekat kepada peserta mengenai kaedah serta pengurusan tanaman berskala besar yang lebih efektif dan berkesan selain mengubah persepsi peserta mengenai agropreneur dan seterusnya menjadikan agropreneur sebagai pilihan bidang kerjaya masa depan.

Antara objektif program ini adalah Sebagai salah satu inisiatif sosial kemasyarakatan Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTMCPP dengan kerjasama organisasi luar, bagi mencapai kesejahteraan masyarakat setempat. Program ini juga dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada penduduk setempat, khususnya anak muda agar memanfaatkan ruang dengan pertanian bagi keperluan sendiri mahupun sebagai salah satu bidang untuk menjana pendapatan serta menambah pengetahuan kepada penduduk setempat tentang penggunaan teknologi inovasi moden dalam bidang pertanian khususnya teknik penanaman secara hidroponik.

Selain daripada sesi lawatan di TKPM, peserta turut mengikuti sesi Taklimat Transformasi Minda bertajuk “Peranan Pasukan Sukarelawan Orang Muda (PSOM) dalam Aktiviti Keusahawanan” oleh Dr. Mohd Subri bin Tahir, Ketua Perunding Projek Pasukan Sukarelawan Orang Muda (PSOM). Taklimat ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada peserta mengenai kepentingan menceburi bidang keusahawanan untuk menjana pendapatan melalui hasil pertanian yang diusahakan. Seterusnya, pada majlis penutup, turut diumumkan pemenang bagi pertandingan penanaman sayur hidroponik. Pemilihan pemenang ini telah dibuat berdasarkan penjurian daripada pihak Jabatan Pertanian.