Projek Agropreneur Muda merupakan projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) dengan kerjasama Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) Kuala Muda. Program ini juga dilaksanakan dengan hasil kerjasama pihak Pejabat Pertanian daerah Seberang Perai Utara, Jabatan Kebajikan Masyarakat daerah Seberang Perai Utara serta Pasukan Pelindungan Kanak-kanak (PPKK) daerah Seberang Perai Utara. Projek ini merupakan satu inisiatif kepada golongan muda yang berumur antara 13-18 tahun untuk berminat menceburkan diri dalam bidang pertanian. Selain itu, ianya bertujuan untuk memberi kesedaran tentang kepentingan bidang pertanian dalam menjana pendapatan melalui agropreneur dan seterusnya menjadikan agropreneur sebagai pilihan bidang kerjaya di masa hadapan.
Projek fasa 1 ini mempunyai 2 sesi iaitu sesi pertama adalah sesi berhidroponik bersama Idola Agropreneur, Encik Amirul. Sesi ini bertujuan untuk peserta yang terlibat mempelajari teknik penanaman secara hidroponik. Manakala sesi kedua adalah Bengkel Agropreneur Muda bersama Jabatan Pertanian Daerah Seberang Utara. Tujuan bengkel ini adalah untuk memberi pengetahuan kepada peserta mengenai asas pertanian dan juga pendedahan tentang pertanian moden. Seterusnya majlis diteruskan dengan perasmian Taman Agro Buddies di tapak PAKK Kuala Muda oleh Ustaz Mohd Naim Bin Haji Salleh wakil Ahli Parlimen Kepala Batas (DUN Penaga).
Objektif program ini antaranya sebagai salah satu inisiatif sosial kemasyarakatan Jabatan Pengurusan dan Perniagaan, UiTMCPP dengan kerjasama organisasi luar,bagi mencapai kesejahteraan masyarakat setempat. Selain itu, program ini juga dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada penduduk setempat, khususnya anak muda agar memanfaatkan ruang dengan pertanian bagi keperluan sendiri mahupun sebagai salah satu bidang untuk menjana pendapatan serta ianya dapat menambah pengetahuan kepada penduduk setempat tentang penggunaan teknologi inovasi moden dalam bidang pertanian khususnya teknik penanaman secara hidroponik.