Program Youth Empowerment Day di Kolej Melati

SHAH ALAM, 12 Jun 2023 – Program Youth Empowerment Day anjuran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Kolej Melati sesi 2023/2024 UiTM Shah Alam telah diadakan pada 15hb Mei 2023 pada jam 8.00 pagi sehingga 4.00 petang di Dewan Seminar Melati Perak, Kolej Melati khusus untuk mahasiswi di Kolej Melati, Universiti Teknologi MARA. Program ini diadakan secara fizikal yang dihadiri oleh 50 orang Srikandi Melati dan beberapa barisan SRK Kolej Melati.

Program ini merupakan usaha Exco Akademik & Kelestarian Alam, Cik Fatin Amira Mohd Zaidi bersama penasihat program, Puan Nur Idzhainee Hashim bagi mempersiapkan Srikandi Melati dalam menghasilkan resume yang dapat membantu mereka dalam menempuh cabaran di alam pekerjaan pada masa akan datang. Program ini terbahagi kepada dua slot, iaitu ‘Bengkel Pemantapan Resume’ yang disampaikan pada sesi pagi, dan slot kedua iaitu ‘Personal Branding in Linkedin’ pada sesi petang. Kedua-dua slot disampaikan oleh tetamu undangan khas bagi program ini iaitu Coachakim, serta Coachusain.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil kepada kedua-dua tetamu undangan, Coachakim dan Coachusain serta ucapan daripada penasihat program, Puan Nur Idzhainee Hashim. Beliau turut mengetengahkan pendapat bahawa program sebegini amatlah penting terutama sekali bagi pelajar semester akhir yang bakal melangkah ke alam pekerjaan agar dapat memberi pendedahan awal terhadap cara untuk menghasilkan kelainan terhadap pelajar serta meningkatkan kebolehpasaran mereka. Lanjutan itu, beliau berharap agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang susulan sambutan baik yang diterima.