Program Tertutup Di Apb Uitm Cawangan Perlis Berjalan Lancar: “Publishing Review Paper In Index Journals”

Akademi Pengajian Bahasa (APB), UiTM Cawangan Perlis dengan kerjasama Research Interest Group Arabic Language Education (ALE) telah menganjurkan program ‘Publishing Review Paper in Index Journals’ pada 10hb Februari 2023 dengan jayanya bertempat di Bilik Inovasi, PJIMA. Program yang berlangsung selama 2 jam ini bermula pada jam 3.00 petang sehingga 5.00 petang. Program ini dihadiri oleh para pensyarah dan pelajar pascasiswazah dari APB dan ACIS. Jumlah peserta yang hadir adalah seramai 27 orang (23 pensyarah dan 4 pelajar pascasiswazah).

Secara asasnya program tertutup ini dianjurkan untuk menambah kemahiran peserta dalam penulisan artikel yang berbentuk “review paper” dan membantu para peserta untuk menulis dan menerbitkan artikel di jurnal yang berindeks khususnya WOS, SCOPUS dan ERA tanpa menggunakan data. Penceramah jemputan bagi menjayakan bengkel ini ialah Dr. Ummi Syarah Ismail dari Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis. Beliau mempunyai pengalaman menerbitkan artikel berbentuk “narrative review” dalam jurnal berindeks SCOPUS.

Bengkel ini terdiri daripada tiga slot utama. Pada slot pertama, penceramah akan menerangkan konsep dan maklumat yang berkaitan dengan artikel berbentuk “review paper” dalam tempoh 1 jam. Seterusnya, slot kedua para peserta akan berbincang dalam kumpulan sama ada 2-5 individu untuk memikirkan “thesis statement” dan tajuk kajian yang berimpak tinggi untuk dibentangkan pada slot seterusnya (30 minit). Akhirnya, setiap kumpulan diminta untuk membentangkan hasil perbincangan mereka untuk mendapatkan komen daripada penceramah (30 minit). Setelah sesi pembentangan dan soal jawab berakhir. Bengkel ini diakhiri dengan sesi bergambar serta sedikit minum petang. Berdasarkan borang tinjauan selepas program, majoriti peserta bengkel mendapat manfaat dengan perkongsian ilmu ini.