Program “Sungai Indah Tanpa Sampah” adalah inisiatif berterusan dalam meningkatkan kesedaran berkenaan pentingnya persekitaran sungai bersih di negeri Pahang. Penjagaan kebersihan sungai amat diperlukan dengan berlakunya pertambahan populasi penduduk dan industri di negeri ini, yang mungkin akan menyebabkan kebersihan sungai terjejas.
Menyahut kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi Matlamat 6: Memastikan ketersediaan dan kelestarian pengurusan air serta sanitasi untuk semua; Matlamat 13: Mengambil tindakan segera untuk menangani perubahan iklim dan kesannya; Matlamat 14: Memulihara dan menggunakan sumber sungai, lautan dan marin secara mampan untuk pembangunan lestari, pihak Tabung Haji Jengka, dengan Kerjasama HEP, UiTM Green Centre, UiTM SDGs dan Team Sukarelawan UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan program komuniti dan kelestarian sungai yang bertempat di Tasik Perkayuan UiTM Cawangan Pahang, Kawasan Rekreasi Sungai Kuala Sentul dan Masjid Kuala Sentul, Maran Pahang. Program ini merupakan inisiatif pihak Tabung Haji yang dirancang bagi mengeratkan ukhuwah dengan komuniti setempat dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, di samping dapat mempromosikan perkhidmatan terkini Tabung Haji kepada masyarakat.
Penglibatan bersama pihak UiTM Pahang dalam menjayakan program ini adalah bagi menyambut baik objektif aktiviti pemuliharaan sungai yang perlu diadakan secara berterusan dan bukan hanya dijalankan secara bermusim atau ketika keadaan sungai telah tercemar kerana sungai adalah sumber air terpenting kepada masyarakat. Bagi meningkatkan kesedaran berhubung tanggungjawab terhadap kebersihan sungai dalam kalangan komuniti, program ini telah menerima penglibatan seramai 30 kakitangan UiTM Pahang. Para peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memudahkan proses pembersihan serta mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan memandangkan program berjalan semasa musim pandemik Covid-19. Program diakhiri dengan ucapan daripada Tuan Haji Rosdi bin Dollah (Pengurus Tabung Haji Cawangan Bandar Jengka), Dr. Mohd Kamal Azman bin Jusoh (Timbalan Rektor HEP UiTM Pahang), dan Ts. Dr. Khairi Khalid (Timbalan Pengarah UiTM Green Centre) serta cabutan bertuah kepada peserta yang telah menjayakan program ini.
Akhir sekali, usaha yang telah dilaksanakan dalam memastikan kebersihan sungai terjaga memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak supaya inisiatif penjagaan sungai ini dapat disalurkan secara terus dan disaksikan sendiri oleh komuniti setempat. Sekiranya berjaya, masyarakat serta komuniti setempat dapat memanfaatkan sepenuhnya sungai bersih yang bakal menjadi tarikan pengunjung luar dalam menikmati kejernihan sungai dan pelbagai hidupan akuatik yang mendiami ekosistem sungai, lantas mampu mewujudkan kelestarian kehidupan dalam usaha memelihara alam semula jadi.