Program Sahur dan Iftar FPP Mengimarahkan Ramadhan di Kampus Puncak Alam

Selangor, 10 April 2023 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah mengadakan Program Iftar dan Sahur FPP pada 8 April 2023 yang lalu bagi meraikan para pelajar FPP yang enginap di kolej-kolej kediaman di Kampus Puncak Alam. Program ini adalah antara aktiviti Ihya’ Ramadhan FPP yang bertujuan untuk mengimarahkan lagi bulan Ramadhan para pelajar FPP serta pihak pengurusan dan pensyarah-pensyarah FPP.

Program Sahur dan Iftar FPP ini telah diadakan di perkarangan Surau Ibnu Sina, UiTM Kampus Puncak Alam. Ianya bermula pada pukul 4:30 pagi, di mana seramai 116 orang pelajar yang mengambil bahagian untuk program ini. Program Sahur ini juga diserikan dengan kehadiran Profesor Madya Dr. Badrul Isa, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Ustaz Saiful Anuar Mohamed Sani, Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Islam (UHEI), Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Dekan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Tuan Syed Ashrene Syed Omar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPP, Puan Nurul Ainun Ahmad Atory serta Encik Muhammad Abdul Hadi Abd Rahman, Koordinator-koordinator HEP FPP. Majlis Sahur berakhir sekitar 5.55 pagi di mana para jemputan dan pelajar menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Ibnu Sina.

Pada sebelah petang, seramai 200 pelajar FPP telah mengambil bahagian dalam persiapan Iftar ini yang diadakan di perkarangan Surau Ibnu Sina, UiTM Kampus Puncak Alam. Majlis bermula pada pukul 6:30 petang di mana para pelajar mula beratur mengambil juadah yang dihidangkan secara bufet. Majlis dihadiri oleh wakil fakulti iaitu Tuan Syed Ashrene Syed Omar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPP, Puan Nurul Ainun Ahmad Atory serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Sekretariat Mahasiswa Fakulti FPP. Majlis bersurai pada pukul 8:00 malam untuk menyertai jemaah solat Maghrib, Isyak dan Terawih di Surau Ibnu Sina.

Program Sahur dan Iftar FPP ini berjaya menjalinkan hubungan yang lebih mesra antara pelajar-pelajar FPP dengan pengurusan kampus dan fakulti. Semoga aktiviti ini dapat menjadi pembuka langkah kepada pelbagai aktiviti-aktiviti kolaborasi FPP dan kampus pada masa akan datang.