Program Rehabilitasi Terapi Cara Kerja Kepada Kanak – Kanak Cerebral Palsi dan Lewat Perkembangan

KANGAR, 25 Mei 2023 – Program Diploma Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Bertam dengan kerjasama Unit Pemulihan Carakerja Hospital Tuanku Fauziah, Perlis telah mengadakan program bersama ibu bapa dan kanak-kanak Cerebral Palsi dan Lewat Perkembangan yang terdiri daripada 20 orang ibu bapa dan 10 orang kanak-kanak.

Bertempat di Dewan CME, Hospital Tuanku Fauziah, Perlis, program ini telah dirasmikan oleh Puan Ooi Hwa Kee selaku Ketua Unit Pemulihan Cara Kerja, Hospital Tuanku Fauziah. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan berterusan dan meningkatkan pengetahuan penjaga/ ibu bapa tentang pengetahuan umum mengenai kondisi anak jagaan yang mengalami Cerebral Palsi dan lewat perkembangan. Selain itu, ia bertujuan memberi pendedahan kepada ibu bapa dan penjaga mengenai intervensi sensorimotor, latihan menguatkan postur dan anggota badan, dan intervensi bagi merangsang perkembangan kanak-kanak.

Program ini dimulakan dengan sesi ceramah slot pertama mengenai Cerebral Palsi dan lewat perkembangan yang disampaikan oleh Dr. Nurhanim Binti Yahaya, Pakar Paediatrik Hospital Tuanku Fauziah kepada para ibu bapa dan penjaga. Seterusnya sesi ceramah slot kedua mengenai Rehabilitasi Terapi Cara Kerja Kepada Kanak – Kanak Cerebral Palsi dan Lewat Perkembangan disampaikan oleh Encik Muhammad Radhi Rahimi Bin Abu Bakar, pensyarah Program Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam. Setelah selesai aktiviti ceramah, terdapat sesi amali dan ‘hands-on’ mengenai intervensi sensorimotor, latihan menguatkan postur dan anggota badan, dan intervensi bagi merangsang perkembangan kanak-kanak yang dipimpin oleh Encik Muhammad Radhi Rahimi. Sesi ini menyentuh teknik-teknik asas yang boleh dipraktikkan oleh penjaga dan juga ibu bapa mengikut kesesuaian setiap kanak-kanak yang hadir.

Kesemua AJK yang terdiri daripada terapis Carakerja dan mahasiswa telah bertindak selaku fasilitator dalam program tersebut. Sambutan dan maklum balas daripada para ibubapa dan penjaga amat memberangsangkan dan para peserta juga memberikan kerjasama sepanjang program ini dijalankan.

Pihak penganjur iaitu Program Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada kakitangan Unit Pemulihan Carakerja Hospital Tuanku Fauziah, ahli jawatankuasa program, para pensyarah, para ibubapa dan kanak-kanak yang terlibat bagi menjayakan program ini. Diharapkan program sedemikian dapat dijalankan di masa akan datang.