Program Recycle Revolution: Save the Earth

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (BA2324B) telah menganjurkan program bertemakan Recycle Revolution:  Save the Earth pada 5 Januari 2024 bertempat di Dewan Perdana, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya.  Program ini diadakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi (PPPT), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Cawangan Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya dan Alam Flora Sdn. Bhd.

Program dianjurkan adalah merupakan salah satu daripada kriteria projek penilaian berterusan untuk kursus Pengurusan Projek (OPM655). Program ini juga bertujuan untuk mendidik golongan generasi muda mengenai kepentingan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar agar dapat mengasingkan sisa pepejal menggunakan tong berbeza dan mengurangkan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan sampah.

Aktiviti pada hari tersebut adalah ceramah bertajuk “3R (Reduce, Reuse and Recycle)” khusus untuk murid-murid Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Jaya yang terdiri daripada murid-murid Tingkatan 4 seramai 53 orang.  Penceramah jemputan iaitu Mohammad Faisal Faiz dari Alam Flora Sdn. Bhd. telah berkongsi pengalaman dan memberi maklumat lengkap tentang pengurusan sisa serta panduan melaksanakan aktiviti kitar semula kepada murid-murid. Penceramah turut menekankan bahawa amalan kitar semula mampu mengurangkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah keseluruhan sampah yang dibuang di tapak pelupusan selain menjimatkan kos pelupusan dan tempat longgokan.

Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah pameran kitar semula.  Program ini dapat menggalakkan murid-murid mengasingkan sampah di rumah dan memanfaatkan sampah yang boleh dikitar semula dengan menjadikannya kraf ataupun dijual kepada pihak ketiga.  Usaha ini bukan sahaja dapat melatih murid-murid menguruskan sisa pepejal mereka secara sistematik, tetapi juga membantu membudayakan amalan kelestarian alam sekitar.

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) seperti SDG 3 (kesihatan baik dan kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan berkualiti dan SDG 11 (bandar dan masyarakat mampan). PPPT akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia. Justeru, PPPT yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPT dan UiTM Cawangan Pahang amnya.