Sejarah terukir sekali lagi apabila Pusat Pengajian Ukur Bahan (PPUB), Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menganjurkan program Quantity Surveying Virtual Presentation 3.0 (QSVP 3.0) dengan norma baharu pada 31 Januari 2022 yang lalu. Seramai 134 orang pelajar telah turut serta dan mereka dibahagikan kepada 18 kumpulan yang dibantu oleh 9 orang fasilitator di kalangan para pensyarah PPUB sendiri. Program ini telah menjemput 18 orang panel penilai terdiri daripada pelbagai latar belakang yang sememangnya pakar dan berpengalaman dalam industri pembinaan. Panel penilai perlu menghakimi hasil pembentangan para pelajar seterusnya berkongsi ilmu dan pandangan yang bermanfaat sebagai pemain industri. Pembentangan bagi dua kumpulan setiap sesi telah berlangsung selama 2 jam. Acara dimulai dengan kata-kata aluan daripada Ketua PPUB, Sr Dr Shamsida Saidan Khaderi dan seterusnya merasmikan QSVP 3.0.
Sesi pembentangan yang dibuat secara maya adalah melalui sesi paralel di mana setiap sesi dihakimi oleh 2 orang panel penilai. Pada semester ini, para pelajar telah diberikan tugasan untuk menyiapkan cadangan pembangunan bagi projek Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab di Lembah Klang. Cadangan pembangunan ini perlu dilaksanakan bermula dari tahap kajian awalan sehingga anggaran keuntungan projek tersebut diperolehi. Para pelajar perlu mengaplikasikan semua ilmu yang telah dipelajari daripada pelbagai subjek dari semester sebelumnya. Di samping itu, para pelajar perlu mencadangkan penyepaduan konsep reka bentuk Islam dan Melayu, serta bangunan hijau dan penjimatan tenaga. Di acara penutup, pemenang yang telah mengumpul tiga markah tertinggi telah diumumkan dan sijil penghargaan telah diberikan kepada mereka.
En Wasliman Hj Sapon, Timbalan Pengarah Bahagian Binaan dan Selenggaraan MARA, selaku salah seorang daripada panel penilai memuji nilai tambah yang diserapkan di dalam cadangan pembangunan pelajar. Namun begitu, pelajar haruslah berhati-hati agar skop kerja utama dan fungsi seorang juruukur bahan tidak dibuat sambil lewa. Dr Myzatul Aishah Kamarazaly dari Taylor’s University menekan para pelajar perlu menghuraikan justifikasi dengan lebih lengkap untuk setiap cadangan mereka. Selain itu, Ketua Juruukur Bahan dari MARA, En Faizal Azwandy Norzaman, menegur agar pelajar perlu lebih bersedia dari pelbagai segi sebelum membuat sesi pembentangan. Terdahulu, beliau telah memberikan taklimat ringkas klien kepada para pelajar pada 18 Oktober 2021 secara maya.
Kesemua panel penilai sangat energetik dan bersemangat dalam sesi paralel masing-masing. Mereka berharap sesi integrasi ilmu ini dapat memberikan pengetahuan baharu dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh para pelajar. Sementara itu, mereka merasakan ini adalah salah satu platform untuk menyumbang kepada anak bangsa terutamanya kepada para pelajar di PPUB, FSPU, UiTM. Program pembentangan maya seperti QSVP 3.0 ini, tidak syak lagi dapat memberikan peluang baharu kepada para pelajar dan juga para pensyarah dalam menjalinkan jaringan industri bersama panel penilai. Bukan sahaja ianya dapat merapatkan jurang antara institusi pendidikan dan industri, malah ianya juga dapat membuka ruang harapan kerjaya untuk direbut oleh para pelajar.