Majlis Watikah Perlantikan Perwakilan Pelajar dan Malam Apresiasi Majlis Perwakilan Pelajar

Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Sarawak telah mengadakan Majlis Watikah Perlantikan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 & Malam Apresiasi Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2019/2020 & 2020/2021 pada 5 Februari 2022 (Sabtu) bertempat di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching Sarawak. Majlis ini merupakan majlis yang julung kali nya diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda negara pada awal tahun 2020 yang lalu.

Majlis ini diadakan bagi meraikan barisan kepimpinan baharu MPP sesi 2021/2022 dan juga sebagai tanda penghargaan pengurusan UiTM Cawangan Sarawak kepada mantan MPP khususnya sesi 2020/2021 dan sesi 2019/2020 yang telah bertungkus lumus mencurah bakti dan memberi khidmat cemerlang sepanjang penggal pentadbiran mereka sebagai MPP. Sebagai rekod, pencapaian mantan MPP yang lalu, banyak program-program berimpak tinggi dan program di peringkat antarabangsa yang telah dilaksanakan dengan jayanya.

Majlis disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Sarawak Profesor Dato Dr. Jamil bin Haji Hamali serta dihadiri oleh pengurusan Kanan UiTM Cawangan Sarawak. Seramai 61 orang barisan kepimpinan pelajar diraikan dalam majlis pada kali ini yang diadakan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan bagi mengelakkan penyebaran dan penularan Covid-19.