Pelajar Pra Sains UiTM Cawangan Sabah Rangkul Tiga Pingat Perak PPTNVIC 2022

4 Februari 2022 telah menjadi peristiwa manis untuk dikenang apabila pelajar Pra Diploma (Sains) UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau berjaya merangkul tiga pingat Perak dalam pertandingan PPT UiTM National Virtual Innovation Competition (PPTNVIC) 2022.

Pasukan pertama yang dianggotai oleh Nurul Syahadah Kamal, Muhammad Amirullah Aripin, Zuhairie Zainol dan Mohammad Johaiwisah Ab Sah dengan inovasi yang bertajuk ScanF -CD (Science Chromatography Art and Design Fiction on Filter Paper – ChromDeco) di bawah bimbingan fasilitator Encik Jemat Julaihi @Basri. Manakala, pasukan kedua yang terdiri daripada Nur Elysha Alia Ali, Mohammad Aiman Naqiuddin Suzain, Aqilah Nur Adilah Rudianto dan Zuhairah Ishak dengan inovasi Algebraic Invented Method-The Balanced Chemical Equation Trouble Shooter dibimbing oleh fasilitator Haji Muliyadi Haji Guliling. Seterusnya, pasukan ketiga dengan tajuk inovasi Chemistry Mind Diagram dianggotai oleh Mohammad Muizzuddin Arif Moni, Azra Hilman Nor Azman dan Dell Worin Junior. Pasukan ini juga di bawah bimbingan fasilitator Haji Muliyadi Haji Guliling.

Menurut seorang peserta, Mohammad Johaiwisah Ab Sah, pertandingan inovasi ini telah memberi peluang kepada ramai pelajar untuk menunjukkan bakat dan kebolehan mereka. “Ini merupakan kali pertama kami menyertai program sedemikian. Kami juga gembira kerana mendapat seorang fasilitator yang sangat baik hati serta berdisiplin,” katanya.

Sementara itu, Nur Elysha Alia Ali berkata pada awalnya saya agak risau adakah kami mampu menyiapkan video projek ini atau tidak? Akan tetapi dengan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan setiap ahli kami akhirnya berjaya menyelesaikan tugasan berkenaan. “Sejujurnya saya tidak menaruh harapan yang tinggi untuk menang. Apa pun, syukur kami dapat juga menang pingat Perak”.

Azra Hilman Nor Azman pula meluahkan perasaan terkejutnya di atas kemenangan ini. Tujuan kami menyertai pertandingan inovasi pada mulanya lebih kepada ingin menambah pengalaman. “Tahniah diucapkan kepada semua wakil UiTM Sabah kerana berjaya memenangi pingat Perak untuk PPTNVIC,” tambahnya.

Majlis penutup dan pengumuman keputusan rasmi PPTNVIC 2022 telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Professor Dr. Mohd Sazili Shahibi yang disiarkan melalui platform UiTM Channel YouTube pada jam 10 pagi.

Untuk rekod, seramai 47 pasukan yang melibatkan 280 pelajar telah mengambil bahagian dalam PPTNVIC 2022. Pertandingan inovasi ini merupakan aktiviti anjuran Pejabat Program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) yang diadakan secara maya dan penyertaan adalah terbuka kepada semua pelajar program Pra Diploma di seluruh cawangan UiTM. PPTNVIC 2022 yang bermula dari 3 hingga 21 Januari 2022 telah berjaya mencungkil daya kreativiti para peserta menghasilkan video e-content berdasarkan empat tema pertandingan iaitu Online Teaching & Learning Strategies, STEM Education, Education Gaming dan Virtual Online Laboratories.