Program Jom Masuk IPT Zon Sarawak 2022

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak telah diberi penghormatan menjadi penganjur utama program Jom Masuk IPT Zon Sarawak 2022 oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Malaysia. Program ini dijadualkan pada 19 dan 20 Februari 2022 (Sabtu dan Ahad) di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) dan akan dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak.

Program Jom Masuk IPT 2022 Zon 3 Sarawak diharap dapat memberi pendedahan kepada calon-calon lepasan SPM, STPM dan setaraf dengannya yang ingin mendapatkan maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan oleh Insitusi-Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Pelbagai info dan maklumat yang akan dikongsikan oleh wakil-wakil IPT yang terbabit seperti Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Pelajar juga berpeluang berurusan dengan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (BPKP) yang akan menguruskan Sistem UPU dan juga penganjur program ini.

Secara amnya, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk bersemuka dengan wakil daripada IPT sepanjang pameran diadakan bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan program-program pengajian yang ditawarkan.

Sebanyak 21 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan sebanyak 24 buah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dijangka akan turut serta sepanjang program ini diadakan. Antaranya adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), UCSI University, Kolej Segi Sarawak, MAHSA University dan banyak lagi IPTA atau IPTS yang lain. Program ini juga disertai oleh beberapa buah Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA), Agensi atau Kementerian seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Simpanan Nasional (BSN), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Malaysia Qualifications Agency (MQA). Program selama 2 hari ini dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti Pameran Pendidikan Tinggi, Taklimat Kerjaya & Sesi Interaktif, IPT BUZZ, cabutan bertuah dan banyak lagi.

Semua calon lepasan SPM, STPM dan setaraf dengannya dijemput untuk mengambil peluang ini bagi mengintai program pengajian yang ditawarkan selain berpeluang menyertai pelbagai aktiviti- aktiviti lain yang turut akan diadakan. Sila hubungi pihak penganjur di talian 082-678200, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA) selaku urusetia bagi mendapatkan maklumat lanjut program ini.

Inilah medan terbaik untuk anda mendapatkan pelbagai informasi tentang peluang melanjutkan pengajian di Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti & Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dalam negara melalui sesi konsultasi bersama BKPA JPT serta pempamer yang mengambil bahagian.