Program Pra Pengajian Tinggi UiTM: Mengubah Destini Anak Bangsa di Kampus Jengka

Program Pra Pengajian Tinggi UiTM yang dulunya dikenali sebagai Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) telah dilancarkan sejak tahun 2010. Ianya merupakan program inisiatif kerajaan untuk membantu pelajar-pelajar miskin untuk menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Program ini dikhususkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berjaya mendapat tawaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi disebabkan keputusan peperiksaan mereka yang tidak memuaskan atau disebabkan faktor kewangan keluarga pelajar tersebut.

Tawaran dibuka setiap tahun dan pelajar yang berminat perlu membuat permohonan ke UiTM. Tambahan pula, objektif Program Pra Pengajian Tinggi UiTM adalah untuk membantu calon pelajar yang berminat tetapi tidak berkemampuan terutama pendapatan keluarga B40 untuk terus menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Ianya juga merupakan satu program yang dikenali dapat membantu golongan Bumiputera luar bandar terutamanya.

Ini adalah satu bentuk sokongan UiTM kepada program membantu golongan berpendapatan rendah B40 khususnya, pada tahun 2018 program MDAB ini telah di jenamakan semula kepada program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) di mana objektifnya tetap sama. Satu sesi perkongsian telah di adakan secara maya di aplikasi Youtube pada 8 Oktober 2021 jam 3.30 petang. Sesi maya ini, telah di sertai oleh pelajar-pelajar sekolah daripada seluruh negeri di kalangan pelajar tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang berminat. Dalam sesi perkongsian ini, beberapa perkara dan maklumat di kongsikan oleh penceramah dengan para pelajar dan juga peserta seperti ibu bapa dan guru-guru kaunselor.

Program di mulakan dengan sedikit perkongsian berkenaan tujuan asal program pendidikan ini di perkenalkan iaitu untuk memastikan agar para pelajar daripada golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah serta mempunyai kelulusan SPM yang kurang baik dapat menyertai pra diploma dan seterusnya dapat menyambung pengajian ke program diploma di mana-mana kampus UiTM. Terkini, terdapat sedikit pengubahsuaian iaitu selain pelajar B40 yang boleh memohon program pra diploma, pelajar yang bukan termasuk kategori B40 juga boleh memohon program ini dengan di kenakan yuran pengajian yang munasabah. Manakala bagi pelajar B40 mereka akan di kecualikan daripada sebarang yuran pengajian dan juga yuran kolej. Kemasukan ke program di buat sebanyak dua kali setahun iaitu pada sesi kemasukan Mac dan kemasukan Oktober pada setiap tahun.

Bagi merealisasikan hasrat kemasukan pelajar pra diploma ke UiTM, pihak UiTM Pahang dengan kerjasama Akademi Youtuber, eDidik Malaysia dan Kelab Guru Malaysia (KGM) telah mengadakan siaran langsung di dalam Youtube untuk memberikan maklumat berkenaan program pra diploma UiTM ini kepada mereka yang berkelayakan. Untuk pengambilan pelajar pra diploma bagi kedua-dua sesi pada tahun 2022 ini, pihak pengurusan UiTM Malaysia menyasarkan seramai 4,000 orang pelajar. Ini menunjukkan komitmen UiTM untuk membantu pelajar-pelajar terutama daripada golongan B40 untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang lain yang telah menyambung pelajaran di IPTA dan IPTS.

Program pra diploma ini di tawarkan di seluruh kampus cawangan UiTM dan kampus induk dengan pelbagai program pra diploma iaitu Pra Diploma Perdagangan (BA002/003), Pra Diploma Sains (PD007/008), Pra Diploma Agroteknologi (AT001/002), Pra Diploma Sains STEM C & Sastera (AS002/003) dan Pra Diploma Pengajian Islam (IC001/002). Syarat umum kemasukan kelima-lima program pra diploma ini adalah merupakan yang terendah iaitu pemohon perlu mempunyai sekurang-kurang tiga kepujian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk bahasa Melayu, dan lulus Sejarah, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Manakala bagi calon yang berminat untuk memohon Pra Diploma Sains dan Pra Diploma Sains STEM C dan Sastera mereka perlu mendapat kepujian di dalam matapelajaran Matematik atau Matematik Tambahan serta lulus salah satu matapelajaran sains, manakala bagi Pra Diploma Sains STEM C dan Sastera perlu mendapat Kepujian sekurang-kurangnya B di dalam mana-mana matapelajaran sains. Bagi meneruskan kesinambungan pra diploma, para pelajar yang mengambil Pra Diploma Sains dan Pra Diploma Sains STEM C dan Sastera boleh meneruskan pengajian Diploma mereka di dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan. Manakala pelajar Pra Diploma Perdagangan pula boleh meneruskan pengajian diploma mereka di dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan.

Seterusnya, lepasan Pra Diploma Agroteknologi pula boleh meneruskan pengajian mereka di dalam Diploma Pengurusan Ladang, Diploma Pengeluaran Herba, Diploma Akuakultur dan Diploma Keusahawan Tani di mana-mana kampus di seluruh Malaysia yang ada menawarkan program tersebut. Bagi lepasan Pra Diploma Pengajian Islam pula mereka boleh memohon Diploma Muamalat dan Diploma Pengurusan Halal. Program Pra Diploma UiTM ini adalah terbuka kepada Bumiputera, Melayu dan Orang Asli di seluruh Malaysia. Selain itu, keunikan program Pra Diploma ini adalah bagi calon yang aktif sukan di peringkat negeri dan negara mereka akan di tempatkan di UiTM Kampus Induk di dalam program khas yang diberi nama PPT Atlet.

Kesimpulannya, program Pra Pengajian Tinggi UiTM ini telah membuka satu lembaran baru dalam menawarkan peluang pendidikan terutama kepada golongan bumiputera. Dengan mengekalkan identiti serta objektifnya, proram Pra Pengajian Tinggi ini merupakan satu wadah yang dapat mengubah destinasi serta hala taju masa depan pelajar terutama golongan B40. Dengan peluang yang sebegini besar adalah diharapkan mereka akan memperkasakan aspirasi UiTM dalam pelbagai bidang profesional serta keusahawanan, seterusnya mengubah dan memperbaiki diri, keluarga, bangsa serta landskap negara ke tahap yang lebih baik. Pelajar-pelajar adalah aset negara serta generasi pemimpin masa hadapan yang akan mengejar impian dalam mencapai kecemerlangan individu dan wawasan negara secara amnya.