Selaras dengan aspirasi yang disuarakan bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) iaitu belia merupakan generasi pemimpin Negara pada masa kini yang akan menentukan kelangsungan negara dan bangsa pada masa hadapan, pihak Pengurusan Kolej Perindu dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) Perindu sesi 2019/2020 hadir dengan sebuah program kepimpinan iaitu Perindu Future Leaders (PFL). Program ini menjurus ke arah mempersiapkan diri para peserta yang terdiri daripada finalis pelapis JPK yang bakal di pilih menjadi JPK bagi sesi 2020/2021 kepada pengendalian dan pengurusan organisasi.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 hingga 23 Januari 2020 menampilkan elemen persaingan sengit dalam realiti dunia pekerjaan hari ini. Elemen tersebut diketengahkan bagi mempersiapkan graduan dengan personaliti yang unggul dan berkualiti.
Berkualiti di sini bukan hanya bersandar kepada prestasi akademik semata – mata malah apa yang lebih penting adalah personaliti dan kemahiran insaniah yang tinggi. Dalam program kepimpinan kali ini, gaya dan cara penyampaian maklumat serta pandangan yang jelas adalah merupakan elemen penting dalam pemilihan untuk menerajui kepimpinan di kolej kediaman.
Menurut Tuan Haji Abdul Malek Hashim, Pengurus Asrama Kanan, Kolej Perindu menyatakan bahawa sikap kepimpinan adalah sangat penting untuk diterapkan dalam diri setiap pelajar bagi kemenjadian graduan yang akan mewarisi generasi kepimpinan pada masa akan datang. Dengan melibatkan diri dan berkecimpung dalam aktiviti kelab dan persatuan yang memerlukan sifat kepimpinan adalah sangat digalakkan supaya para mahasiswa dapat mempraktikkan diri untuk menjadi pemimpin yang berkaliber dalam mengendalikan sesuatu kerja atau program.
Saudara Ahmad Nazri Mohd Zainon, Yang Dipertua JPK Sesi 2019/2020 menyatakan bahawa dengan adanya program seperti ini, mahasiswa khususnya bakal JPK Kolej perindu akan datang dapat merealisasikan aspirasi Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM dalam membentuk dan melahirkan graduan yang mempunyai Kemahiran Insaniah (KI) yang tinggi dan personaliti unggul untuk memenuhi keperluan industri dalam negara dan global.
Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan dalam menerapkan sikap kepimpinan di samping mengukuhkan lagi semangat bekerjasama dalam menguruskan sesuatu pentadbiran organisasi bagi mengekalkan prestasi cemerlang Kolej perindu. Ini adalah untuk kebaikan bersama dalam menguatkan hubungan dan kerjasama antara bakal JPK, pihak pengurusan kolej serta Staf Residen Kolej (SRK).
Antara pengisian sepanjang program PFL ialah bengkel penulisan kertas kerja serta laporan, seminar komunikasi media sosial, bengkel pengurusan kewangan organisasi, sesi suai kenal bersama pengurusan dan SRK kolej serta slot khas bersama pengetua kolej.
Pemilihan awal pelapis JPK ini telah berlangsung pada 20 -21 September 2019 melalui sesi temuduga oleh Majlis Tertinggi JPK Kolej. Seramai 80 orang pelajar hadir dalam temuduga tersebut. Saringan peringkat kedua dibuat dan seramai 50 pelajar sahaja yang terpilih untuk ke sesi mentor mentee bersama JPK Sesi 2019/2020. Daripada 50 pelajar, hanya 30 orang yang berjaya terpilih untuk mengikuti program kepimpinan kali ini. Dalam pengisian kali ini, sesi temuduga dan tembual bersama pengurusan dan SRK kolej telah di buat bagi memilih 17 bakal pemimpin JPK bagi sesi 2020/2021.
Menurut Naib Yang Dipertua JPK Sesi 2019/2020, Saudara Muhaamd Hafiz Muhamad Ahyat menyatakan bahawa Program kepimpinan seperti sangat penting dalam usaha merangka program – program pembangunan pelajar di samping memberikan kemudahan dan perkhidmatan yang terbaik. Sekaligus menjadi nilai tambah kepada keberhasilan graduan yang bersifat holistik berteraskan keseimbangan dan kesepaduan dari segi intelek, jasmani, rohani, emosi dan sosial.
Antara Kejayaan Kolej Perindu
- Johan Keseluruhan, Anugerah Kolej Cemerlang UiTM 2018
- Naib Johan Keseluruhan, Karnival Kebudayaan UiTM (KARYAKU) 2018
- Johan Keseluruhan, Karnival Kebudayaan UiTM (KARYAKU) 2019
- Tempat Ke-3, Sukan Antara Kolej 2019
- Tempat Ke-4, Anugerah Kolej Cemerlang UiTM 2019
Oleh: Sumardianshah Bin Silah