Seminar Pra-Praktikum Fakulti Pendidikan Tingkatkan Tahap Kesediaan Bakal Guru Pelatih

 Seminar Pra-Praktikum Fakulti Pendidikan Tingkatkan Tahap Kesediaan Bakal Guru Pelatih
Peserta seminar bergambar bersama Koordinator Praktikum dan penceramah jemputan

Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, telah menganjurkan Seminar Pra-Praktikum pada 3-7 Februari 2020. Seminar ini merupakan salah satu syarat wajib untuk semua pelajar semester 7 daripada 6 program ijazah sarjana muda di Fakulti Pendidikan. Para pelajar ini bakal menghadapi sesi praktikum pada semester Mac-Julai 2020 di sekolah-sekolah menengah sekitar Lembah Klang dan Selangor.

Pengisian Seminar Pra-Praktikum ini memberikan pendedahan tentang pentadbiran sekolah, pentaksiran, cara-cara mengendali pelajar, pengurusan diri di sekolah serta aspek perundangan dan hak sebagai seorang guru. Walaupun banyak daripada aspek-aspek ini telahpun disentuh di dalam pengajian selama 6 semester sebelum ini, seminar ini dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan jangkaan bakal guru-guru pelatih terhadap realiti alam pengajaran. Slot-slot seminar dikendalikan oleh pegawai pendidikan dari Jabatan Pelajaran dan Kementerian Pelajaran Malaysia serta guru-guru yang berpengalaman.

 Seminar Pra-Praktikum Fakulti Pendidikan Tingkatkan Tahap Kesediaan Bakal Guru Pelatih
Sebahagian daripada penceramah yang diundang

Seminar yang berlangsung selama 5 hari ini memperkukuhkan emosi, intelek dan fizikal sebelum berhadapan dengan cabaran sebagai guru praktikal di sekolah. Seminar ini juga diharap dapat membantu pelajar membentuk kefahaman yang jelas terhadap tugas, tanggungjawab serta keprofesionalisme perguruan agar guru pelatih mempunyai kesedaran terhadapan peranan yang akan dimainkan.