Klang, 20 Mei 2023 – Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan (PPTMP) di bawah Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UiTM Selangor telah berjaya menganjurkan sebuah Knowledge Transfer Program (KTP) berkaitan dengan Penerapan Kebertanggungjawaban dan Kebersihan di Kalangan Pengawas Kantin Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru, Klang, Selangor. Program KTP 2023 melibatkan 57 pengawas kantin dan 10 orang guru pembimbing dari SMK Meru, serta seramai 16 staf dari PPTMP, FSK, UiTM. Ia diadakan secara dalam talian melalui platform Google Meet pada 20 Mei 2023 diikuti secara bersemuka di SMK Meru pada 8 Jun 2023. Kerjasama ini dibantu oleh guru pembimbing Pengawas Kantin SMK Meru; Cikgu Noraziah Binti Abu Bakar serta Cikgu Nur Syafiqah Binti Zainal.
Program ini merupakan inisiatif yang sangat bermakna dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan Pengawas Kantin mengenai aspek kebertanggungjawaban, kesihatan, dan pembangunan diri. Dalam tempoh dari 20 Mei 2023 hingga 8 Jun 2023, program ini memfokuskan pada beberapa objektif utama yang perlu dicapai seperti memberi pendedahan awal kepada Pengawas Kantin mengenai hubung kait yang erat antara kebertanggungjawaban, kesihatan, pembangunan, dan pengukuhan diri pelajar. Ini termasuklah pembangunan kemahiran kepimpinan, etika, dan tanggungjawab mereka terhadap kesihatan dan kebersihan di kantin. Kerjasama yang kukuh dalam pasukan Pengawas Kantin adalah penting untuk memastikan pengurusan kantin berjalan lancar dan efisien. Ceramah berkaitan kepimpinan telah diberikan oleh Dr Mohd Nazri Bin Abu, yang juga selaku pengarah program.
Program ini juga memberikan kesedaran kepada Pengawas Kantin tentang pentingnya kebersihan dan ancaman penyakit yang boleh dijangkiti sekiranya kebersihan diabaikan. Mereka diajar cara-cara membasuh tangan dengan betul dan diperkenalkan kepada jenis-jenis bakteria yang boleh terdapat di tangan, serta penyakit yang boleh berjangkit melalui kontaminasi. En. Mohd Fahmi Bin Mastuki telah memberikan ceramah berjudul ‘Tangan Bersih, Kesihatan Terjaga’. Manakala demonstrasi cara basuhan tangan yang betul diselia oleh Prof. Madya Dr Wan Mazlina Binti Md Saad.
Program ini tidak hanya memberi pendedahan kepada pelajar tentang ciri-ciri kepimpinan dan kebertanggungjawaban dalam kebersihan kantin, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan etika dan moral profesional pelajar melalui kerjasama dengan organisasi luar. Program ini adalah langkah positif dalam meningkatkan kesedaran dan pengetahuan Pengawas Kantin SMK Meru dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan.