Program Pemindahan Ilmu dan Teknologi 2024 – Program Tanggungjawab Sosial Universiti

Seri Iskandar – Seperti yang dirancang, satu program pemindahan ilmu dan gotong royong di Surau Al Ikhlas, Seri Iskandar, Perak selama separuh hari pada Sabtu, 13 Januari 2024 bermula dari jam 8 pagi hingga 1 petang telah dilaksanakan dengan jayanya. Program yang julung kali diadakan itu merupakan anjuran Program Ukur Bangunan, Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama kariah Surau Al-Ikhlas, Persatuan Pelajar Ukur Bangunan (BISA), Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia UiTM Cawangan Perak dan Kolej Komuniti Tapah. Seramai 32 staf akademik dan 31 orang pelajar bersama-sama menjayakan program ini dengan diketuai oleh Sr. Dr. Mohamad Haszirul Mohd Hashim selaku Pengarah Projek.

Matlamat utama program ini adalah untuk menyampaikan pengetahuan mengenai penyelenggaraan di dalam sebuah masjid melalui pendekatan “University-Social-Responsibility (USR).” Program ini memfokuskan pada pemindahan ilmu berkaitan dengan penyelenggaraan, dengan harapan agar pengetahuan tersebut dapat memberi manfaat kepada peserta dan kariah surau. Pendekatan USR diterapkan dalam usaha untuk melibatkan universiti secara proaktif dalam tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Program ini melibatkan  tiga teras kerja utama iaitu kerja-kerja pembersihan surau, pemasangan solar dan pengukuran semula pelan bangunan surau.

Program yang bermula pada pukul 9 pagi didahului dengan taklimat penyelenggaraan oleh Prof. Madya Ts. Sr. Dr Mohd Fadzil Mat Yassin dan Sr. Dr. Mohamad Haszirul Mohd Hashim kepada peserta-peserta program. Peserta-peserta juga diagihkan kepada beberapa kumpulan mengikut kepada aktiviti permbersihan surau yang diketuai oleh beberapa orang pensyarah. Kemudian para pensyarah dan pelajar terlibat bergerak mengikut lokasi penyelenggaraan masing-masing. Antara aktiviti  pembersihan yang telah dijalankan pada hari tersebut adalah pembersihan kipas dan penapis penyaman udara, pembersihan tandas , vakum karpet dan menyapu lantai, mengelap tingkap dan pintu, membersihkan lantai, kerja-kerja mengecat, membantu kerja-kerja memasak, membuat pengukuran keluasan surau dan juga pemasangan lampu solar. Program tersebut juga mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari ahli kariah Surau Al Ikhlas.

Diharapkan agar program seumpama ini dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyelenggaraan di Surau Al Ikhlas, serta menyumbang kepada peningkatan kefahaman dan praktik tanggungjawab sosial universiti di kalangan pelajar dan staf akademik. Selain itu, melalui pendekatan “Community- Based Approach” iaitu dengan mengaplikasikan ilmu pengetahuan di dalam penyelenggaraan bangunan kepada komuniti, ia dapat membina kesedaran dan keprihatinan terhadap komuniti selain dapat mengurangkan kos pelaksanaan yang perlu dikeluarkan oleh pihak surau tersebut.

Program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya. Majlis penutup dilakukan sejurus selepas solat Zohor secara berjemaah di surau Al Ikhlas. Pihak universiti dan kariah surau Al Ikhlas menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memupuk semangat bergotongroyong serta memberi pendidikan berkaitan penyelenggaraan bangunan dan meningkatkan aspek kebersihan dan keselesaan komuniti melalui penyenggaraan bangunan. Program ini juga melibatkan kerjasama dan sokongan, langsung dan tidak langsung dari pelbagai pihak untuk menjayakan usaha ini. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dan juga ahli kariah Surau Al-Ikhlas di atas program yang bermanfaat ini.

 

Nurhidayah Samsul Rijal

Sr Dr Mohamad Haszirul Mohd Hashim

An Nisha Nur Welliana Abd Rased