Finishing School, Program Tamat Pengajian: Ceramah Kerjaya

Program ilmiah untuk pelajar semester 5 anjuran pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Bahasa telah berlangsung pada hari Khamis, 11 Januari 2024, bertempat di Dewan Kuliah C, Aras 6, Blok Dewan Kuliah, Pengajian Kejuruteraan Elektrik, UiTM Shah Alam.

Finishing School, Program Tamat Pengajian: Ceramah Kerjaya atau lebih dikenali sebagai Finishing School merupakan sebuah program ilmiah dan santai untuk para pelajar semester 5 yang bakal menjalani latihan industri pada semester hadapan. Program ini memberi pendedahan kepada pelajar tentang cara-cara untuk memohon latihan industri secara profesional dan juga tips membuat resume yang lebih menonjol.

Penceramah-penceramah yang hadir juga merupakan pakar industri yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Antara penceramah yang turut memberikan pandangan berharga ialah Puan Ameerah binti Idros daripada VSPO Malaysia, Cik Maslinda Abdul Talib daripada Dragonfire Corporate Solutions Sdn Bhd, Cik Nur Amirah Binti Ayub Khan daripada SUKE TV dan Puan Nur Izzah Binti Osman daripada Southeast Lingua Malay Language Hub.

Pada sesi pagi, Puan Ameerah binti Idros memberikan perkongsian yang menyeronokkan tentang perkembangan industri e-sport yang kian berkembang dan bagaimana industri ini memberi pelbagai manfaat kepada para graduan yang baru tamat belajar terutamanya di syarikat beliau. Cik Maslinda Abdul Talib pula berkongsi pengalaman beliau dalam menguruskan tenaga kerja, menekankan pentingnya etika kerja, dan memberi tip berguna mengenai perkembangan kerjaya dalam industri teknologi. Beliau juga memberi latihan simulasi kepada pelajar tentang bagaimana membuat resume yang lebih menonjol dan juga latihan menjawab soalan-soalan temuduga.

Pada sesi petang pula, Cik Nur Amirah Binti Ayub Khan yang juga merupakan bekas pelajar APB memberi tips-tips berguna tentang latihan industri dan pengalaman beliau memohon dan menjalani latihan industri tersebut. Manakala, Puan Nur Izzah Binti Osman memberi wawasan tentang strategi pemasaran yang berkesan dan betapa kecekapan dalam komunikasi dapat memberi impak positif kepada perkembangan perniagaan.

Program ini mencerminkan komitmen pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Bahasa dalam menyediakan sokongan menyeluruh kepada pelajar menjelang tamat pengajian. Sebagai tambahan, ia turut menjadi platform yang memberi peluang kepada pelajar untuk memperluaskan rangkaian profesional mereka dan membina hubungan dengan pakar-pakar industri yang berjaya.

Melalui Finishing School, diharapkan pelajar dapat menghadapi dunia industri dengan lebih keyakinan, membina reputasi profesional yang kukuh, dan memaksimumkan peluang pekerjaan yang ada. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif Akademi Pengajian Bahasa untuk memastikan setiap pelajar tidak hanya mendapat pendidikan akademik yang baik tetapi juga dilengkapi dengan kemahiran insaniah dan profesional yang diperlukan untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka.