Pada 25 Mac 2023 yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) telah mengadakan program Pemantapan Destini Siswa (PDS). Program ini merupakan sebuah platform untuk pelajar baharu sesi ambilan bulan Mac – Ogos 2023 mengenali dengan lebih mendalam berkenaan sistem pentadbiran Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), serta persatuan dan kelab dalaman yang terdapat di FPP. Seramai 388 orang pelajar baharu daripada 16 program sarjana muda FPP telah menyertai program ini.
Program ini terdiri daripada beberapa slot seperti slot EDU 5.0 yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Zarina Denan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPP, serta sesi suai kenal bersama Tuan Syed Ashrene Syed Omar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (HEP) FPP. Menerusi slot-slot ini pelajar dapat mengenali barisan pengurusan atasan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan. Terdapat juga sesi soal jawab dengan para pelajar yang berkaitan dengan hal ehwal akademik dan aktiviti-aktiviti HEP. Selain itu, program ini juga menganjurkan pengisian nilai-nilai UiTM iaitu ESI – iDART yang di sampaikan oleh Prof. Dr. Hjh. Zuraeda Ibrahim, Pengarah Institut Kepimpinan Pelajar UiTM. Menerusi slot ini, pelajar dapat memahami nilai-nilai UiTM iaitu ESI – iDART yang terdiri daripada Excellence, Synergy Intelligence; Ilmu, Disiplin, Amanah, Rajin dan Tanggungjawab. Nilai-nilai ini haruslah dipupuk dalam diri setiap pelajar supaya dapat membentuk pelajar yang cemerlang dan berkualiti tinggi. Selain itu, program ini juga diserikan dengan slot bersama Puan Dayang Suzana Awang, Kaunselor Unit Kaunseling dan Kerjaya, UiTM Cawangan Selangor. Slot ini amat memberi nilai tambah kepada pelajar-pelajar baru di mana mereka diberikan pendedahan berkenaan kesihatan mental serta unit-unit yang sentiasa memberi sokongan terhadap pelajar untuk menghadapi cabaran kehidupan di kampus.
Program ini juga menjadi platform kepada pelajar-pelajar baharu untuk mengenali Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) FPP, barisan Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) FPP, serta Jawatankuasa Tertinggi Kelab dan Persatuan-persatuan dalaman FPP. Pendedahan awal seperti ini menjadi wadah kepada mereka untuk mempersiapkan diri untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kampus yang sesuai dengan minat dan latar belakang mereka.
Program Pemantapan Destini Siswa (PDS) ini memberi impak yang positif kepada pelajar baru FPP. Mereka menjadi lebih yakin dan bersemangat untuk memulakan sesi pembelajaran di kampus. Program seperti ini dapat membantu pelajar baharu FPP untuk menjalani kehidupan di kampus dengan lebih tenang dan teratur.