Pemerkasaan Hala tuju Pelajar Pra Pendidikan Tinggi: Kemanakah mereka?

Seri Iskandar, 6 April 2023. Unit Pra Pendidikan Tinggi (PPT) Cawangan Perak telah mengadakan satu sesi taklimat Penerapan ke Diploma pada 5 April 2023 yang melibatkan sejumlah 35 orang pelajar PPT (Pra Diploma Perdagangan) bertempat di Smart Classroom kampus Seri Iskandar, Perak. Taklimat tersebut diketuai oleh koordinator PPT, Puan Nor Zarina Mohd Salim di mana beliau dibantu oleh Puan Hafini Suhana dan Dr.Siti Nur’amalina selaku penasihat akademik PPT bagi cawangan Perak.

Objektif utama program ini tertumpu kepada pendedahan mengenai tatacara permohonan penerapan ke diploma bagi pelajar PPT. Di samping itu, pelajar juga didedahkan mengenai strategi pemilihan program yang bersesuaian dengan minat, keupayaan dan hala tuju kerjaya pelajar terbabit. Pelajar lepasan PPT juga mempunyai keistimewaan tersendiri di mana mereka berpeluang untuk memohon lebih dari 45 program diploma yang ditawarkan oleh UiTM di seluruh negara. Aspek tambahan mengenai kesilapan pemilihan program diploma dan mengisi borang penerapan secara online turut diberi penekanan sepanjang program ini berlangsung.

Impak dari program ini, permohonan pelajar PPT ke peringkat diploma diharapkan lebih efisien di mana setiap pelajar yang memohon berupaya menggunakan tatacara permohonan yang betul bagi mengisi 3 pilihan utama program diploma bagi sesi kemasukan Oktober 2023 yang akan datang, bersesuaian dengan minat dan keupayaan diri mereka.