Program Mobiliti Pelajar New Colombo Plan (NCP) dari Edith Cowan University (ECU) ke UiTM Melaka

MELAKA, 1 Disember 2023 – Program Mobiliti Pelajar New Colombo Plan (NCP) selama 14 hari telah berlangsung  di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka di kampus Bandaraya dan kampus Alor Gajah.  Program mobiliti pelajar ini dibiayai oleh Kementerian Luar Negeri dan Perdagangan (DFAT) Kerajaan Australia. Program ini diketuai oleh Dr Irfah Najihah Binti Basir Malan, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP) melibatkan kerjasama di antara FPP dan Sekolah Perniagaan dan Undang-Undang, Edith Cowan University (ECU) di bawah Rancangan Colombo Baru (NCP).  Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha bersama di antara UiTM Melaka dan Sekolah Perniagaan dan Undang-Undang di ECU, memupuk persefahaman antara budaya, perkembangan akademik, dan pembangunan peribadi

Program kerjasama ini telah berlangsung dari 20 November hingga 1 Disember 2023, melibatkan lapan pelajar dan seorang pensyarah, Dr. Saiyidi Mat Roni. Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pelajar Australia mengenai rantau Indo-Pasifik dengan memberikan peluang unik untuk menyelami mekanisme mikro kewangan yang menyokong usahawan tempatan di Malaysia.

Sepanjang dua minggu lawatan pengajian, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti, termasuk pertemuan dengan institusi kewangan tempatan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia  dan SME Bank. Selain itu, lawatan budaya ke Kuala Lumpur dan Bandar Hilir, Melaka, bersama-sama dengan lawatan kampus dan kelas bahasa di UiTM, memberikan pengalaman holistik kepada pelajar mengenai bahasa dan budaya di negara Malaysia terutama negeri Melaka. Pelajar juga diberi peluang melihat demonstrasi penyediaan dan menikmati minuman kopi tempatan oleh Leitto Kahve  disertai dengan kuih-muih tradisional yang disediakan khas oleh Leitto Kahve.

Fokus utama program ini adalah untuk meneroka mekanisme mikro kewangan dan keusahawanan, serta mengetahui bagaimana skim kewangan ini dapat membantu usahawan tempatan kecil yang kurang mendapat akses kepada sumber dana tradisional. Selain daripada aspek akademik, lawatan ini menekankan pertukaran budaya, membolehkan pelajar berinteraksi dengan komuniti tempatan, menyelami warisan Malaysia, dan menyaksikan peranan pelancongan dan hospitaliti dalam pembangunan sosio-ekonomi.


Program ini diharapkan mampu menjadi pemangkin untuk lebih banyak projek pemindahan ilmu yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada pelajar dan komuniti dengan matlamat untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi penduduk tempatan serta mendorong inisiatif penglibatan komuniti oleh universiti.