Program MLT Mini Colloquium Berhasil Libatkan Pihak Industri dan Alumni Berjaya

PUNCAK ALAM, 10 Ogos 2023 – Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UiTM Selangor Kampus Puncak Alam telah berjaya mengadakan program MLT Mini Colloquium yang berlangsung di Dewan Seminar Aras 8, FSK. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Dr Wan Shahriman Yushdie Wan Yusoff.

Seramai 50 orang pelajar tahun akhir Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan telah terlibat dalam sesi membentangkan hasil kajian bagi projek penyelidikan masing-masing. Selari dengan objektif utama program iaitu mendedahkan pelajar kepada kemahiran menjalankan penyelidikan dan membentangkan hasil kajian, program ini telah dinilai oleh pensyarah berpengalaman dari dalam UiTM dan juga panel luar. Di antara jemputan panel luar adalah dari International Islamic University Malaysia, Universiti Selangor, University College of MAIWP International, University of Cyberjaya dan Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Selain dari itu, program MLT Mini Colloquium ini juga telah diselitkan dengan sesi perkongsian pengalaman kerjaya oleh alumni Pusat Pengajian Teknologi Makmal Perubatan, Dr Rose Iszati Ismet Nayan. Terkini, beliau bertugas sebagai Genomic Team Manager di Neoscience Sdn Bhd. Melalui slot perkongsian tersebut, para pelajar didedahkan tentang cabaran yang bakal dihadapi dalam dunia kerjaya dan persiapan yang perlu dilakukan untuk menghadapi temuduga kerjaya nanti.

Lebih menarik, program yang diketuai oleh Dr Mazura Bahari dan dibantu oleh ahli jawatankuasa dari pusat pengajian ini juga telah berjaya mendapat tajaan yang baik dari beberapa buah syarikat iaitu Matrix Optics (M), Unggul Medik, Canvio, BMS Marketing, Labquip (M), Warisan Alam Trading and Service, Utas Maju, Setiamed Resources, Scilab Innovation, IR Lab Resources dan Benua Sains Sdn Bhd. Usaha ini secara tidak langsung dapat memperkenalkan program Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan kepada pihak luar terutamanya pemegang taruh dan berhasil membentuk jalinan kerjasama dengan pihak industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.