Program Tanggungjawab Sosial Korporat Lawatan Sambil Belajar KMK MART ke MYDIN Hypermarket Bandar Tun Razak Jengka

Perkembangan minda seseorang pelajar berkait rapat dengan percambahan pengetahuan sama ada yang diperoleh secara formal atau tidak formal. ‘Jauh perjalanan’ menjadikan pengetahuan pelajar luas dan berkembang. Oleh itu, pada 8 Jun 2023 yang lalu, KMK MART telah mengadakan satu lawatan sambil belajar ke MYDIN Hypermarket yang terletak di Bandar Tun Razak Jengka.

Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar bagaimana teori perniagaan peruncitan yang dipelajari semasa perkuliahan dapat dipraktik dan dilaksanakan dengan berkesan dalam kehidupan sebenar. Selain itu, lawatan ini juga bertujuan menyediakan ruang untuk para pelajar agar mereka dapat membudayakan sikap usahawan.

Lawatan yang disertai oleh lapan orang pekerja KMK MART diiringi oleh dua orang mentor iaitu Puan Normala binti Ismail dan Encik Mohamad Kamil Ariff bin Dato’ Khalid telah bertolak dari Kampus Jengka dengan sebuah van pada pukul 10.00 pagi dan tiba di MYDIN Hypermart pada jam 10.30 pagi.

Setibanya di sana, kami telah disambut dan diberi taklimat oleh Encik Rostam bin Tarib, 1st Branch in Charge, MYDIN Hypermarket, Bandar Tun Razak Jengka. Dalam taklimat ringkas beliau telah mengucapkan terima kasih atas kesudian kami melawat ke MYDIN. Setelah selesai taklimat, kami diiringi oleh Encik Rostam telah dibawa melawat tapak operasi MYDIN secara menyeluruh, bermula dari bahagian pengurusan kedai, diikuti dengan bahagian pengurusan stok, pembekalan, pembayaran, perkhidmatan pelanggan dan bahagian sumber manusia. Setiap soalan yang diajukan oleh para pelajar telah dijawab dengan jelas oleh Encik Rostam. Malah, beliau turut mengaitkan teori-teori peruncitan yang dipelajari oleh pelajar semasa kuliah dengan keadaan sebenar atau realiti dengan apa yang telah dipraktikkan oleh MYDIN sehingga menjadi salah sebuah perniagaan peruncitan yang paling berjaya di Malaysia. Para pelajar sangat terpesona dan berasa teruja dengan cara pengurusan dan kecekapan kerja-kerja peruncitan yang dikendali dan dilakukan oleh ‘team’ MYDIN Hypermarket di Bandar Tun Razak Jengka ini.

Sebelum pulang, pihak KMK MART melalui Encik Mohamad Kamil Ariff bin Dato’ Khalid telah memberikan cenderahati berupa sebuah plak khas mewakili UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Pihak Encik Rostam bin Tarib amat gembira menerima cenderahati tersebut.

Keseluruhannya, lawatan yang mengambil masa lebih daripada tiga jam ini berjaya memberi pengetahuan yang baharu kepada pekerja-pekerja KMK MART agar mereka mampu berdikari dan lebih bersemangat dalam melaksana dan menjalankan tugas-tugas di kedai KMK MART. Program ini juga telah berjaya memenuhi kriteria SDG-4 iaitu ‘Quality Education’, SDG-9 iaitu ‘Industry, Innovation and Infrastructure’ dan SDG-17 iaitu ‘Partnership for the Goals’. Diharap program lawatan sambil belajar ini dapat menambah pengetahuan dan pengalaman para pelajar ke arah kecemerlangan, minat berniaga dan mempunyai daya saing yang tinggi di samping mengekalkan jalinan bersama komuniti setempat.