“PLAYGROUP THERAPY” PERKHIDMATAN TERAPI CARAKERJA UITM

PUNCAK ALAM, 17 Ogos 2023 – Perkhidmatan Terapi Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam telah mengambil inisiatif mengadakan aktiviti berkumpulan pertama bersama kanak-kanak berkeperluan khas pada tahun ini . Aktiviti ini telah diadakan pada 17hb Ogos 2023 bertempat di Makmal Pediatrik, FSK 234 UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam.

Aktiviti berkumpulan ini melibatkan seramai 7 orang kanak-kanak berkeperluan khas bersama-sama terapis pemulihan cara kerja. Peserta yang terlibat adalah dalam kalangan kanak-kanak Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Disorder dan masalah percakapan.

Tema untuk aktiviti berkumpulan kali ini adalah ‘Pohon Merdeka’ yang bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada bulan Ogos ini. Aktiviti yang dijalankan adalah lukisan tangan (hand print) untuk ‘Pohon Merdeka’ dan juga aktiviti fizikal (dance therapy).

Objektif utama aktiviti berkumpulan ini adalah untuk merangsang integrasi deria, seperti deria sentuhan,penglihatan,pendengaran,keseimbangan dan proprioseptif. Selain itu, aktiviti ini juga merangsang kemahiran kognitif, kemahiran motor kasar dan halus serta kemahiran sosial dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas.

Perkhidmatan Terapi Cara Kerja telah beroperasi sejak 2021 sehingga sekarang dan telah menerima sebanyak lebih kurang 100 orang pesakit. Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah seperti terapi cara kerja pediatrik, medikal dan neurologi, ortopedik dan psikiatrik. Perkhidmatan ini beroperasi dari Isnin-Jumaat daripada 9.00 pagi hingga 4.00 petang.

Kepada mana-mana pelanggan yang ingin mendapatkan rawatan di Perkhidmatan Terapi Cara Kerja, sila berhubung di talian yang berikut 03-32584320.

Aktiviti ini akan dijalankan dari semasa ke semasa dan nantikan lebih banyak aktiviti menarik yang akan dianjurkan pada masa akan datang.