Program Maya ‘Global Environmental Science and Education Program 2023’ UiTM Cawangan Pahang

Pada 27 Mac 2023 dan 28 Mac 2023 yang lalu, telah berlangsung program ‘Global Environmental Science and Education 2023’ secara atas talian. Program ini merupakan program jalinan kerjasama antarabangsa yang telah dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Cawangan Pahang (UCPh). Program ini juga turut melibatkan kerjasama dan penyertaan kolaborasi akademik bersama Universitas Negeri Malang, Universitas Halu Oleo, dan Universitas Gadjah Mada, Indonesia.

Objektif utama program ini adalah untuk untuk memberi peluang kepada pelajar dan juga pensyarah untuk bertukar-tukar pendapat di samping meningkatkan kefahaman mereka mengenai isu dan perspektif global berkaitan dengan bidang biodiversiti, kelestarian alam, teknologi dan nilai dalam pendidikan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi universiti ke arah Global Research University (GRU 2025). Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Mohd Ilham bin Adenan yang merupakan Rektor UCPh.

Seramai 134 orang pelajar UiTM Cawangan Pahang dan 89 orang pelajar dari Universitas Negeri Malang, Universitas Halu Oleo, dan Universitas Gadjah Mada telah menyertai program ini secara atas talian menggunakan platform zoom. Pelajar yang menyertai program ini juga turut berpeluang untuk menimba ilmu daripada tujuh orang pensyarah yang merupakan penceramah jemputan di kalangan UiTM Cawangan Pahang dan daripada Universitas Negeri Malang, Universitas Halu Oleo, dan Universitas Gadjah Mada melalui perkongsian menarik mengenai hasil dapatan penyelidikan, penulisan dan kepakaran antara universiti-universiti tersebut. Para penceramah jemputan terdiri daripada Prof. Madya Dr. Khairi Khalid (Timbalan Pengarah Pusat Hijau UiTM Shah Alam), Dr. Noorshashillawati Azura Mohammad (UCPh), Dr. Eli Hendrik Sanjaya (Universitas Negeri Malang), Dr. Lies Indriyani, SP., M.Si. (Universitas Halu Oleo), Puan Norlaili Harun (UCPh), Dr. Ir. Tomy Listyanto (Universitas Gadjah Mada) dan Dr. Ni Putu Diana Mahayani (Universitas Gadjah Mada).

Program jalinan global ini diharapkan dapat memberi pendedahan kepada para pensyarah dan mahasiswa tentang budaya akademik di peringkat antarabangsa dan dapat membuka ruang dan peluang untuk meningkatkan perkembangan akademik pensyarah dan pencapaian akademik pelajar menerusi jalinan projek-projek yang bersesuaian dengan bidang kepakaran pensyarah dan jurusan pelajar yang terlibat.