Pelajar FSPPP Berbicara Bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA)

Seremban, 9 Mei 2023 – Program Bicara Bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), YBhg. Dato’ Dr. Zulkapli bin Mohamed anjuran Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah berlangsung di Dewan Kuliah Toh Puan Sungei Ujong, UiTM kampus Seremban. Program ini bertujuan sebagai platform untuk para pelajar FSPPP mendengar perkongsian kisah hidup YBhg. Dato’ Dr. KPPA serta pengalaman kerjaya beliau sepanjang bergelar penjawat awam agar dapat memberi sedikit gambaran sebenar dan hala tuju para mahasiswa pada masa hadapan.

Program Bicara Bersama KPPA ini telah dikelolai oleh Saudara Noriman Ariff Saiful Bahar, Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar, UiTM Cawangan Negeri Sembilan. Antara perkongsian kisah hidup YBhg. Dato’ Dr. KPPA yang telah menyentuh emosi para hadirian adalah beliau menceritakan tentang ikon yang dijadikan sebagai inspirasi dalam kehidupan beliau. Beliau menjadikan allahyarhamah ibunya sebagai ikon sejati yang telah banyak berkorban dalam membesarkan beliau bersama dua belas adik-beradik. Selain perkongsian kisah hidup YBhg. Dato’ Dr. KPPA, beliau juga menerangkan tentang fungsi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pengurusan sumber manusia khususnya perancangan dan pembangunan sumber manusia dalam sektor awam. Beliau turut menasihatkan para pelajar untuk sentiasa mencari peluang dalam meningkatkan kemahiran terutamanya teknologi dan komunikasi.

Program seperti ini dilihat dapat memberikan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dalam menyiapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang penting sebelum memasuki alam pekerjaan. Turut hadir dalam program ini ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith, Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dan YBrs. Prof. Dr Yamin Yasin, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan.