Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah mengadakan satu program mauizah kepada semua warga BPPA pada 25 Ogos 2023. Ceramah telah disampaikan oleh YBrs. Ustazah Norfaizah Yahya, Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam), Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI) UiTM Shah Alam. Ceramah agama pada kali ini membawa tajuk “Fasabrun Jamil”. Program telah diadakan di Bilik Mesyuarat BPPA bermula jam 8.30 pagi.
Definisi sabar membawa maksud menahan diri dari sifat kegundahan dan rasa emosi kemudian menahan lisan dari keluh kesah serta menahan anggota tubuh dari perbuatan yang tidak terarah. Fasabrun Jamil ertinya sabar itu indah, diungkapkan kepada orang yang emosinya sedang meluap, sedang marah, diucapkan bagi diri sendiri yang tidak boleh menahan emosi.
Jenis-jenis sabar terbahagi kepada tiga (3) iaitu sabar dalam ketaatan kepada Allah, sabar meninggalkan maksiat serta perkara haram dan sabar dalam sesuatu ujian serta ketentuan Allah yang menyakitkan.
Sabar dalam ketaatan; sabar sebelum daripada melakukan ketaatan dengan membetulkan niat yang ikhlas kerana Allah dan menjauhi daripada unsur-unsur riyak. Sabar dalam keadaan sedang mengerjakan sesuatu ketaatan supaya tidak lalai, tidak malas dan tidak khusyuk. Sabar selepas daripada beramal. Iaitu janganlah melihat diri sendiri dengan pandangan yang ujub.
Antara hikmah sabar adalah kekuatan bagi manusia yang dapat bersabar, diam apabila dicaci dan dimaki, cahaya yang menyinari kegelapan, istiqamah dalam mendidik sifat sabar di dalam diri, anugerah Allah yang tertinggi dan bukti tanda-tanda orang itu beriman. Selain itu, sabar merupakan salah satu jalan ke syurga Allah SWT, merupakan sifat para Nabi dan rasul, dapat menghapuskan dosa dan menjanjikan kebahagiaan yang paling tinggi. Allah memerintahkan supaya bersabar dan sabar itu bukti tanda-tanda orang itu beriman.
Sifat sabar adalah suatu sifat yang “Mesti” ada pada setiap insan yang bergelar “Mukmin” bagi meneruskan kehidupan dan menggamit kejayaan di dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Semoga dengan terlaksananya program ini, dapat membantu serta meningkatkan tahap pengetahuan warga BPPA mengenai erti kesabaran serta dapat mengetahui erti sabar yang sebenar dalam Islam.