Program Mau’izah Siri Jun 2023 : Maqasid Syariah Dalam Kehidupan

Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) telah menjalankan Program Mauizah Siri Jun 2023 bertajuk Maqasid Syariah Dalam Kehidupan pada 23 Jun 2023.  Program tersebut bermula pada jam 9.00 pagi dan penceramah jemputan bagi program ini ialah YBrs. Ustaz Mohd Azri bin Aripin, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Hal Ehwal Islam (BHEI), UiTM Shah Alam.

Maksud Maqasid Syariah adalah tujuan, makna dan hikmah yang telah ditetapkan oleh Syariat Islam dalam hukum-hakam yang disyariatkan serta rahsia di sebaliknya dengan tujuan untuk merealisasikan kemaslahatan manusia.

Syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat.  Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat.

Pembahagian maqasid syariah pada dasarnya maslahah terbahagi kepada peringkat ad-Daruriyyat atau al-Hajiyyat atau at-Tahsiniyyat.  Dharuriyah (keperluan asas) melibatkan lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.  Hajiyyah (kemudahan dan kelapangan) ialah maslahah yang diperlukan oleh manusia untuk mewujudkan kemudahan dan kelapangan dalam menjalankan tugas dalam kehidupan, dan pada masa yang sama menghindarkan kesusahan serta kesukaran.  Tahsiniyyah (kesempurnaan) ialah maslahah yang diperlukan sebagai kesempurnaan untuk menjaga kehormatan hidup manusia yang melibatkan kemuliaan akhlak dan adat yang baik serta meninggalkan keadaan yang buruk menurut akal yang waras.

Dharuriyah dalam kerjaya kita menjauhi perkara yang menyalahi undang-undang, mematuhi adab pergaulan di tempat kerja, amanah dan bertanggungjawab, melaksanakan apa yang ada di dalam senarai tugas (JD), kepatuhan pada masa dan tangggungjawab agama seperti solat lebih utama.

Maqasid Syariah amatlah penting untuk difahami dan diaplikasikan bagi menjaga keadilan, memelihara kebaikan dalam kehidupan setiap insan.  Di samping itu juga, ianya mampu menghasilkan kerja yang berkualiti dan melahirkan kakitangan yang berdisiplin selaras dengan kehendak syariat.

Semoga program ini dapat memberi manfaat, kebaikan serta pengajaran kepada semua warga BPPA yang hadir.