Program Mari Kitar Semula

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (BA2324B) telah menganjurkan program bertemakan ‘Mari Kitar Semula” pada 16 Jun 2023 bertempat di Dewan Jubli Perak, Sekolah Kebangsaan Jengka Pusat 2 (SKJP2). Program ini diadakan dengan kerjasama Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG), UiTM Pahang, Sekolah Kebangsaan Jengka Pusat 2 dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Program dianjurkan adalah merupakan salah satu daripada kriteria projek penilaian berterusan untuk kursus Pengurusan Projek (OPM655). Program ini juga bertujuan untuk mendidik golongan generasi muda mengenai kepentingan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar sejak kecil. Program ini dapat menggalakkan murid-murid mengasingkan sampah di rumah dan manfaatkan sampah yang boleh dikitar semula.

Turut diadakan pada hari tersebut adalah ceramah bertajuk “Amalan Kitar Semula” khusus untuk murid-murid SKJP2. Penceramah jemputan iaitu Puan Rosliah Junsin dari SWCorp berkongsi pengalaman dan memberi maklumat lengkap tentang pengurusan sisa serta panduan melaksanakan aktiviti kitar semula kepada murid-murid. Sementara itu, murid sekolah juga didedahkan dengan pameran dan demonstrasi penggunaan bahan kitar semula

Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah pertandingan reka cipta daripada bahan terbuang. Aktiviti ini bertujuan mendidik golongan generasi muda dalam amalan kitar semula dengan kreativiti di mana murid-murid mengubah bahan terbuang bagi menghasilkan sesuatu yang berguna. Ianya juga dapat mendidik semangat berpasukan.

Usaha ini bukan sahaja dapat melatih murid-murid menguruskan sisa pepejal mereka secara sistematik, tetapi juga membantu mereka menjana pendapatan sampingan menerusi pengumpulan bahan kitar semula dan dijual ke pusat-pusat kitar semula, di samping membudayakan amalan kelestarian alam sekitar. Budaya kitar semula dan pengasingan sisa di rumah merupakan salah satu langkah proaktif yang boleh membantu mengurangkan janaan sisa buangan di tempat pelupusan sampah.

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) seperti SDG 3 (kesihatan baik dan kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan berkualiti dan SDG 11 (bandar dan masyarakat mampan). PPPG akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia. Justeru, PPPG yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPG dan UiTM Cawangan Pahang amnya.

Posted Under