Dari Tapah Ke Seremban: Sinergi Baharu Buat Jabatan Undang-Undang

UiTM Tapah, Perak | Satu perjalanan berdurasi 3 jam dan 30 minit menjadi sangat bermakna apabila pihak Jabatan Undang-Undang (JUU) UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah telah berjaya melaksanakan program Lawatan Penanda Aras dan Jalinan Kerjasama bersama pihak Jabatan Undang-Undang (JUU) UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban. Seawal jam 7.30 pagi pada 18 Julai 2023 yang lalu, 4 orang pensyarah JUU Kampus Tapah telah bertolak ke UiTM Kampus Seremban untuk membuat perbincangan dan sinergi bersama dengan 8 orang pensyarah JUU Kampus Seremban. Program bermula sekitar jam 11 pagi dan tamat sekitar jam 3 petang.

Antara objektif lawatan ini diadakan adalah untuk mengadakan perbincangan dua hala berkenaan idea dan pengalaman pihak pensyarah dalam mengendalikan jabatan secara keseluruhannya. Selain itu, lawatan ini bertujuan untuk berkenalan dengan pensyarah di jabatan kampus lain dengan lebih dekat, seterusnya membawa kepada kerjasama untuk sebarang bentuk penerbitan dan kajian pada masa akan datang.

Alhamdulillah, banyak input yang menarik telah dikongsikan diantara dua pihak yang terlibat sepanjang sesi lawatan diadakan. Kedua-dua pihak memberikan maklumbalas dan pengalaman yang cukup berharga untuk dibawa pulang. Pelbagai perancangan masa depan telah dibincangkan bersama untuk manfaat keseluruhan warga pelajar dan staf UiTM.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Koordinator JUU Kampus Tapah, Puan Nor Laila Ahmad, serta semua pensyarah JUU Kampus Seremban yang terlibat atas kesudian untuk menerima kehadiran JUU Kampus Tapah ke kampus Seremban.

Akhir kata, program lawatan ini berjaya membuka minda dan mata pihak JUU untuk terus menambah baik potensi jabatan daripada segala aspek, termasuklah tugas dan tanggungjawab sebagai staf UiTM. Diharapkan lawatan sebegini dapat memberi kesan positif dalam kalangan pensyarah. Kerjasama yang baik ini seharusnya dijadikan kayu ukur dalam membantu UiTM secara amnya, mengorak langkah untuk terus berjaya menggapai aspirasi GRU 2025.