Go Green Sports Day

Satu Program Sukaneka bertemakan ‘Go Green Sports Day” bagi menyantuni murid-murid Tabika Perpaduan UiTM telah berjaya dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat (BA2324A). Program sukaneka ini telah diadakan pada 9 Jun 2023 bertempat di Dewan Merpati UiTM Cawangan Pahang.

Program yang dilaksanakan ini adalah salah satu daripada kriteria projek penilaian berterusan untuk kursus Pengurusan Projek (OPM655). Di antara objektif program ini adalah untuk memupuk kredibiliti dan keyakinan diri di kalangan para pelajar dalam pengurusan dan penganjuran sesebuah program, di samping dapat meraikan dan menghargai kanak-kanak.

Seramai 19 orang pelajar dari kelas BA2324A yang terlibat dalam penganjuran program ini dan 16 orang murid-murid sebagai peserta. Antara aktiviti yang dijalankan semasa sukaneka ini dilaksanakan ialah mencari gula-gula dalam tepung, membawa bola ping-pong di dalam sudu, acara belon air dan mewarna kanak-kanak. Keriangan terpancar di murid-murid ini dengan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Ia secara tidak langsung dapat memartabatkan kembali permainan tradisional kepada masyarakat.

Pelajar BA2324A dilihat memberi komitmen yang baik sebagai jawatankuasa program. Program diselangi dengan sesi ramah mesra dengan peserta dan jamuan makan. Program diakhiri dengan acara penyampaian hadiah dan sumbangan ikhlas daripada ibu bapa dan warga Pusat Pengajian Pengurusan Gunaan (PPPG). Diharapkan program ini dapat mencapai objektifnya, memberi input dan manfaat kepada para murid-murid Tabika Perpaduan UiTM Cawangan Pahang.

Pelaksanaan program ini adalah selaras dengan keperluan Sustainable Development Goals (SDG) seperti SDG 3 (kesihatan baik dan kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan berkualiti dan SDG 11 (bandar dan masyarakat mampan). PPPG akan terus menyumbang kepada keperluan Universiti bagi meningkatkan lagi ranking Universiti dan menaikkan nama UiTM di mata dunia. Justeru, PPPG yang diketuai oleh Ketua Pusat Pengajian, Puan Mas’udah Asmui amat berterima kasih dengan kerjasama dan usaha yang tidak putus-putus daripada pelajar dan pensyarah dalam usaha meningkatkan lagi pencapaian PPPG dan UiTM Cawangan Pahang amnya.