MACHANG, 07 Disember – Program Mahasiswa Bangkit 4.0: Jom Bersama!! Minda Sihat, Emosi Sejahtera Sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022 anjuran bersama Kelab Pembimbing Efektif Rakan Sebaya (PEERS), Unit Kerjaya & Kaunseling (UKK), Pejabat Kesihatan Daerah Machang dan Pusat Kementerian Kesihatan Negeri Kelantan pada 29 November 2022. Kolaborasi sinergi yang sangat baik ini telah menghasilkan satu program yang berimpak tinggi kepada mahasiswa dan hadirin yang turut serta bersama menjayakan program ini bermula dari awal pagi sehingga ke petang dengan pengisian, pameran dan penerangan berkenaan tentang kesihatan mental yang perlu difahami, diketahui dan diselami oleh semua agar kesedaran tentang bahana penyakit mental mampu dikawal, dicegah dari awal lagi. Begitu juga impaknya pada Kelab PEERS sebagai peneraju utama yang memastikan agar gerak kerja, perancangan dan keputusan yang diambil adalah tepat bagi memastikan hasil program ini berada di tahap yang membanggakan dan berjalan dengan lancar sebagaimana objektif yang telah digariskan oleh UiTM Cawangan Kelantan, Unit Kerjaya & Kaunseling dan Pejabat Daerah Kesihatan Machang Kelantan. Secara keseluruhannya, program berimpak tinggi seperti ini telah mendapat sambutan baik, seramai 405 orang mahasiswa yang datang mengunjungi pameran-pameran yang disediakan.
Dewasa kini, pelbagai isu berkaitan kepincangan sosial banyak dilaporkan oleh pihak media sama ada di media cetak atau media elektronik. Isu sosial yang sering dilaporkan adalah seperti peningkatan kes kesihatan mental, bunuh diri, perceraian, keganasan rumah tangga, pembuangan bayi, samun, serangan seksual, buli dan sebagainya. Ini jelas menunjukkan bahawa kesejahteraan psikologi sangat penting dalam mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal seseorang kerana ia berupaya mempengaruhi peranan individu dalam masyarakat bagi membentuk kesejahteraan sosial, kepuasan hidup dan kebermaknaan dalam kehidupan. Situasi ini dapat dikaitkan secara langsung dengan kesan ketidaksejahteraan psikologi individu yang mana mereka ini merupakan sebahagian daripada orang disekeliling kita. Justeru, aspek kesejahteraan psikologi perlu dilihat dan diperkasa. Penerimaan masyarakat terhadap kesihatan mental semakin terbuka berikutan usaha berterusan yang telah dilakukan oleh golongan profesional terutamanya Kementerian Kesihatan dalam bidang kesihatan mental dengan pelancaran program-program kesedaran kepada masyarakat umum berkenaan hal ini. Keterbukaan masyarakat untuk berkongsi isu-isu peribadi sama ada konflik keluarga, masalah kewangan, isu dalaman kendiri, dan pelbagai isu lain adalah jalan terbaik bagi mendapatkan rawatan secara sistematik dan teraputik.
Menurut Puan Zainab ‘Izzah Mahmud, Penasihat Kelab PEERS, program yang dijalankan pada hari ini, merupakan salah satu pendekatan terbaik bagi merungkai, mengulas dan mendapatkan jawapan adakah benar kesihatan mental merupakan satu faktor yang mempengaruhi pembelajaran dan bagaimana seseorang ingin mengetahui dirinya mengalami masalah mental. Melalui perkongsian slot ceramah kesihatan mental: Impak dan Penyelesaiannya diharapkan dapat mengupas, merungkai segala persoalan-persoalan yang wujud dalam pemikiran sama ada kepada pesakit mahupun masyarakat umum. Selain itu, program-program sebegini juga amat penting bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa agar celik akal dan sedar tentang aspek penjagaan mental dan kepentingannya serta bagaimana cara mengurus emosi dengan bijak terutamanya apabila berhadapan dengan masalah. Berjumpalah pada yang pakar seperti para kaunselor, pakar psikiatri, atau luah perasaan kepada orang yang boleh membantu untuk mendapatkan kelegaan emosi. Jangan biarkan atau pendam kerana takut ia menjadi racun yang boleh membunuh secara senyap dalam diri. Begitu juga, saya ingin memperingatkan kepada semua mahasiswa dan hadirin semua agar sentiasa menjaga diri masing-masing. Walaupun kita sudah di fasa endemik, kesihatan diri tetap perlu dijaga pada setiap masa.