Program Bersama Komuniti: Ceramah Kesedaran Keselamatan Siber Dan Penyakit Kanser Payudara

TAWAU, 8 NOVEMBER 2022 (SELASA): Sempena Program Bersama Komuniti kolaborasi antara Universiti Teknologi MARA Cawangan Sabah (UiTMCSH) Kampus Tawau dan Politeknik Tawau Sabah (PTS), dua ceramah yang bertemakan Teknologi dan Kesihatan telah diadakan di Dewan Al-Jabbar, Politeknik Tawau Sabah.

Dr. Hajah Nor Hanizah Binti Mohamad, selaku Pengarah Politeknik Tawau Sabah telah merasmikan program tersebut. Turut hadir adalah Tuan Haji Muliyadi Hj. Guliling, Koordinator Kampus, UiTM Cawangan Sabah, Kampus Tawau.

Sesi ceramah pada petang tersebut bermula dengan ceramah pertama iaitu Ceramah Kesedaran Keselamatan Siber yang telah disampaikan oleh Encik Darwanshah Ardiansa, Pengerusi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia, Program Perumahan Rakyat, Taman Sri Balung. Melalui perkongsian beliau, pelajar telah didedahkan kepada pelbagai kes penipuan atau scam siber yang berleluasa pada masa kini. Di samping itu, beliau berkongsi tentang taktik-taktik psikologi yang sering digunakan oleh scammer untuk menipu orang ramai serta langkah- langkah yang boleh diambil untuk melindungi diri sendiri daripada menjadi mangsa scam.

Program pada petang tersebut diteruskan dengan Ceramah Kesedaran Penyakit Kanser Payudara yang disampaikan oleh Dr. Nur Husna Bte Aten, pakar bedah Hospital Besar Tawau. “Walaupun bukan semua kes kanser payudara boleh sembuh sepenuhnya, namun pengesanan kanser payudara pada peringkat awal boleh meningkatkan kadar hidup dan mengurangkan kadar kematian dalam jangka panjang,” kata Dr. Husna.

Selepas itu, suatu demonstrasi pemeriksaan penyakit kanser payudara telah dilakukan oleh Cik Murni Muchtar, jururawat Sabah Family Planning Association, untuk mengajar para pelajar khususnya pelajar perempuan cara-cara melakukan pemeriksaan terhadap payudara diri sendiri, dalam usaha memupuk kesedaran tentang penyakit kanser payudara. Ceramah Kesedaran Kanser Payudara telah diperkayakan dengan sesi testimoni yang disampaikan oleh Chairlady Tawau Kinabalu Pink Ribbon, 2013 – 2022, Cik Christy Fe Salazar, yang juga merupakan seorang pejuang kanser payudara selama 14 tahun.

Dr. Choo Siow Chin, selaku Ketua Program Bersama Komuniti UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa staf dan pelajar dari UiTM Cawangan Sabah Kampus Tawau dan Politeknik Tawau Sabah, serta agensi-agensi luar seperti Lions Club of Tawau Mega, Unit Pembedahan Hospital Besar Tawau, Tawau Kinabalu Pink Ribbon, dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia, Taman Sri Balung atas sumbangan tenaga dan masa serta kepakaran dalam menjayakan program ini. Beliau berharap agar kolaborasi dan kerjasama yang terjalin dapat diteruskan di masa depan.