Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) Permatang Pauh, UiTMCPP Kampus Bertam dan Syarikat Techom Metal Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Kutipan E-Waste bertempat di UiTMCPP Permatang Pauh.
Turut terlibat dalam program ini ialah Puan Norma bt Abd Razak (Penolong Pengarah Kanan, Unit Pendidikan & Pengawasan, JAS Pulau Pinang), Prof Madya Ts. Dr. Kay Dora Binti Abd Ghani (Timbalan Rektor (PJIM&A) UiTMCPP) dan Ts. Dr. Azhar Mohammad Noor, pensyarah kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan UiTMCPP Kampus Bertam selaku pengarah program.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh En. Mohd Fitri Mohd Mokhtar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan, JAS Pulau Pinang di UiTMCPP. Program yang telah bermula dari 12 Januari 2023 sehingga 13 Januari 2023 sekitar jam 9.00 pagi – 3.00 petang ini juga telah mendapat sokongan daripada kakitangan UiTMCPP Permatang Pauh dan penduduk sekitar.
Sebanyak 1008.60 kg ewaste telah berjaya dikumpulkan dalam program ini. Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur iaitu UiTMCPP Permatang Pauh dan UiTMCPP Kampus Bertam.
Bagi pihak UiTMCPP Kampus Permatang Pauh dan Kampus Bertam mengucapkan sekalung tahniah kepada Pengarah Program, bersama para pensyarah dan staf perkhidmatan yang telah berjaya menjalankan tugasan bersama dengan kerjasama pihak JAS Pulau Pinang dan Syarikat Techom Metal Sdn. Bhd. Semoga program ini dapat memberikan kesedaran kepada kakitangan UiTMCPP dan orang awam dalam melupuskan ewaste dengan cara yang betul dan dapat diteruskan pada masa hadapan.
“E-waste dikitar, bumi terpelihara”