Memperhebat Ketampakan Digital: Saluran YouTube BPPA Capai Hampir 150,000 tontonan

Penubuhan Bahagian Pentaksiran dan Penilaian Akademik (BPPA) adalah hasil komitmen UiTM dalam memupuk budaya inovasi dalam penilaian dan pentaksiran pendidikan tinggi. Sehingga Februari 2023, 2 tahun selepas penubuhan BPPA, pelbagai program latihan yang komprehensif untuk semua warga akademik telah dilaksanakan. Ketika dunia berdepan dengan COVID-19, terdapat banyak program latihan yang telah dianjurkan secara atas talian. Dalam menghadapi cabaran ini, saluran YouTube “Academic Assessment and Evaluation Division” telah dibangunkan pada April 2021 dan menjadi medium utama penyampaian program webinar berkaitan pentaksiran. Pemilihan platform YouTube mengambilkira faktor seperti kebolehcapaian, fleksibiliti, keberkesanan kos, interaktiviti, kebolehskalaan dan kebolehcarian. Hingga kini, saluran YouTube BPPA mempunyai 148,156 tontonan dengan lebih 3500 langganan.

Secara amnya, program latihan berkaitan pentaksiran terbahagi kepada berberapa modul seperti berikut:

  1. Modul latihan pentaksiran & penilaian (pensyarah baharu)
  2. Modul pengukuhan kualiti pentaksiran & penilaian (warga akademik)
  3. Modul inovasi pentaksiran & penilaian (warga akademik)
  4. Taklimat Pentaksiran & Penilaian (seluruh sistem)

Modul Latihan Pentaksiran & Penilaian (pensyarah baharu)

Terdapat tiga modul latihan pentaksiran & penilaian yang dijalankan di dalam kursus pengajaran & pembelajaran (Higher Education Teaching and Learning) untuk pensyarah baharu di UiTM. Di dalam modul hasil usahasama Institut Latihan & Pembangunan UiTM dan BPPA ini memperkenalkan pensyarah baharu kepada polisi serta strategi dan alat pentaksiran dan penilaian untuk digunakan dalam pengajaran. Latihan untuk pensyarah baharu telah dijalankan secara atas talian ketika pandemik, dan berjalan secara fizikal ketika endemik.

Modul pengukuhan kualiti pentaksiran & penilaian (warga akademik)

Berberapa siri bengkel dan webinar ditawarkan sepanjang tahun bagi menjamin keutuhan kualiti pentaksiran dan penilaian di UiTM. Antara topik yang ditawarkan termasuk pentaksiran formatif dan sumatif, pentaksiran berbantukan teknologi, pentaksiran inklusif, panduan moderasi dan sebagainya. Siri webinar ini ditawarkan secara atas talian agar semua warga dapat mengakses dan mengikutinya. Bagi memenuhi keperluan warga akademik dan fakulti, BPPA juga menjalankan menjalankan bengkel serta klinik pentaksiran secara fizikal sebagai usaha untuk membantu memperkasakan pentaksiran dan penilaian di fakulti.

Modul inovasi pentaksiran & penilaian (warga akademik)

BPPA juga menawarkan webinar yang merangkumi trend dan perkembangan terkini dalam pentaksiran pendidikan tinggi. Webinar ini menampilkan tokoh di dalam bidang untuk berkongsi amalan baik yang telah mereka laksanakan di dalam pentaksiran dan penilaian alternatif. Antara topik yang telah dibicarakan adalah seperti berikut:

  • “Enhancing the Effectiveness of Online Assessment” – Prof Dr Barry O’ Sullivan
  • “Open Book Exams – Issues and Challenges” – Prof Dr Parmjit Singh
  • “Promoting Higher Order Thinking through Case Studies” – Prof Dr Faizah Abd Majid
  • “Impact Measurement with SDG Tools” – Prof Dr Suhaimi Abdul Talib
  • “Effective Assessment with UFUTURE” – Dr Prasanna Ramakrishnan

Taklimat Pentaksiran & Penilaian (seluruh sistem)

Dalam mendepani setiap fasa peralihan, BPPA mengadakan taklimat maya berkenaan dengan pengendalian pentaksiran dan penilaian di UiTM bagi setiap semester. Ini adalah sebagai satu usaha untuk memastikan sebarang informasi berkenaan pentaksiran dan penilaian yang merangkumi proses serta prosedur difahami oleh seluruh warga UiTM.

Inovasi latihan melalui siri 30-minute webinar

Dalam penyesuaian perubahan fasa open-distance learning (ODL) kepada medium konvensional seperti sediakala, BPPA telah merangka siri webinar 30 minit sebagai usaha untuk menyajikan warga dengan informasi berkenaan pentaksiran dan penilaian secara berkala. Webinar pendek sebegini mudah diakses, kos efektif dan fleksibel untuk warga akademik memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu.

Penilaian secara berkala dilakukan bagi memastikan keberkesanan program latihan yang dijalankan. Tinjauan serta temubual susulan dengan peserta latihan dan webinar dilakukan agar penambahbaikan berterusan dapat diusahakan. Berdasarkan data yang telah diperolehi dan dianalisa, latihan yang telah dijalankan oleh pihak BPPA disambut baik oleh warga akademik. Kebanyakkan mereka juga melaksanakan strategi atau amalan baik yang telah dikongsikan sebagai hasil dari latihan yang diikuti. Sebagai contoh, berberapa pensyarah telah mula menggunakan teknik pentaksiran alternatif seperti e-portfolio dan mengurangkan kaedah pentaksiran konvensional seperti peperiksaan akhir. Ramai warga akademik juga telah mula menggunakan platform pentaksiran berasaskan teknologi seperti kuiz dan tinjauan di atas talian, untuk pengumpulan data tentang pembelajaran pelajar.

Secara keseluruhannya, latihan yang dijalankan telah memainkan peranan penting dalam menggalakkan inovasi dalam pentaksiran dan penilaian pendidikan tinggi di UiTM. Warga akademik telah disediakan dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mereka-bentuk dan melaksanakan strategi penilaian yang berkesan, dan telah membantu mewujudkan budaya penambahbaikan berterusan dalam penilaian pendidikan tinggi.

BPPA mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada warga UiTM di atas sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam menjayakan inisiatif pelaksanaan pentaksiran autentik di UiTM. Teruskan mengikuti saluran YouTube kami di https://www.youtube.com/@BPPAUiTM