Learn from the Experts: Program Kolaborasi Antara Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dan Kolej Matrikulasi Pahang

PAHANG, 3 Februari 2023 – Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Pahang (UiTMCPh) dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) telah menganjurkan program Learn from the Experts: Marginal Costing vs. Absorption Costing yang merupakan sebuah program berasaskan pemindahan pengetahuan oleh pensyarah Fakulti Perakaunan UiTMCPh kepada pelajar perakaunan kolej matrikulasi.

Program ini telah diadakan secara atas talian melalui platform youtube live selama 2 jam, bermula 2.30 petang hingga 4.30 petang. Sehingga kini, sebanyak 834 tontonan telah direkodkan di platform tersebut. Peserta yang telah mengikuti program ini terdiri daripada pelajar dan pensyarah dari kolej matrikulasi seluruh Malaysia serta warga Fakulti Perakaunan UiTMCPh. Tiga orang pensyarah perakaunan dari UiTMCPh telah dijemput sebagai penceramah jemputan iaitu, Puan Nor Hawani Wan Abdul Rahman, Puan Anis Barieyah Mat Bahari dan Puan Nur Syazwani Mohammad Fadzillah. Manakala, Encik Muhamad Izham Zakaria dari KMPh berperanan sebagai moderator bagi program tersebut.

Secara ringkasnya, program ini merupakan perkongsian mengenai salah satu topik yang terkandung dalam kursus Management Accounting iaitu Marginal Costing dan Absorption Costing. Bagi kolej matrikulasi, topik ini berkaitan dengan pelajar perakaunan semester 2 yang akan menduduki kertas Perakaunan Pengurusan (AA025). Program kolaborasi ini bertujuan untuk menjalinkan kerjasama di antara Unit Perakaunan KMPh dan Fakulti Perakaunan UiTMCPh, selain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai Marginal Costing dan Absorption Costing.

Sesi perkongsian ini dimulakan oleh Puan Anis Barieyah yang menerangkan tentang pengenalan kepada konsep Marginal Costing dan Absorption Costing. Kemudian program diteruskan dengan sesi tutorial oleh Puan Nur Syazwani dan Puan Nor Hawani. Masing-masing menunjukkan cara untuk menjawab soalan bagi Marginal Costing dan Absorption Costing. Program berakhir dengan sesi soal jawab oleh pelajar dan pensyarah dari kedua-dua Fakulti Perakaunan UiTMCPh dan KMPh.

Dengan wujudnya sesi perkongsian berbentuk ilmiah seumpama ini, secara tidak langsung, program ini dapat mencapai nilai Sustainable Development Goals (SDG) Matlamat 4 iaitu Pendidikan Berkualiti. Pada masa yang sama, program ini juga membantu UiTMCPh mencapai PI076 – Number of Knowledge Transfer Programmes (KTP) dan PI079 – Number of communities receiving/benefiting from the knowledge/technology diffusion projects.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dikendalikan dan telah mencapai objektif yang dirancangkan. Penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini samada secara langsung dan tidak langsung terutama kepada pihak Unit Perakaunan KMPh yang telah mempelawa Fakulti Perakaunan UiTMCPh untuk sama-sama berkolaborasi dalam program ini.