PROGRAM KOMUNITI: AKTIVITI KESUKARELAWAN DI ZOO NEGARA MALAYSIA, ANJURAN PERSATUAN PELAJAR PROGRAM AS255, UiTM CAWANGAN PAHANG

KUALA LUMPUR, 10 Jun 2023 – Persatuan pelajar program AS255, Organization Biodiversity Club (ORBID) daripada UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka telah mengadakan aktiviti kesukarelawan yang bertempat di Zoo Negara Malaysia. Aktiviti kesukarelawan ini telah disertai oleh 76 orang pelajar daripada program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti (AS255) dan 3 orang pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan.

Program komuniti ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada ahli persatuan ORBID tentang pengurusan pusat pemeliharaan haiwan dengan lebih meluas. Selain daripada itu, program sebegini juga dapat memberi peluang kepada para pelajar AS255 untuk melibatkan diri dalam aktiviti kesukarelawan dan secara tidak langsung mampu memupuk sifat cintakan biodiversiti.

Sebelum memulakan aktiviti, pihak Zoo Negara telah memberikan taklimat ringkas kepada para peserta mengenai cara pengendalian haiwan sewaktu bertugas dan aspek keselamatan yang perlu diambil berat oleh peserta. Para pelajar kemudiannya telah dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut pengelasan kumpulan haiwan seperti mamalia, reptilia, amfibia, reptilia dan burung. Antara aktiviti yang telah dilakukan oleh para pelajar ialah pembersihan kandang haiwan, pembersihan kawasan persekitaran Zoo Negara, dan memberikan makanan kepada haiwan.

Usai berakhirnya aktiviti sukarelawan pada jam 12.30 tengah hari, para pelajar kemudiannya meneruskan aktiviti lawatan ke setiap kandang haiwan yang terdapat di Zoo Negara sehingga jam 3.30 petang. Diharapkan aktiviti seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membantu meningkatkan kesedaran pelajar dan komuniti untuk bersama-sama melindungi kepelbagaian haiwan.