MAJLIS ANUGERAH DEKAN (OKTOBER 2022 – FEBRUARI 2023)

SHAH ALAM, 19 Jun 2023 – Majlis Anugerah Dekan Akademi Pengajian Bahasa Sesi Oktober 2022 – Februari 2023 yang dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti Akademi Pengajian Bahasa (SMFAPB) telah berjaya dilaksanakan di Dewan Anjung Seri Budiman (Dewan Annex) pada 14 Jun lalu. Majlis tersebut dihadiri oleh Yang Berusaha Prof. Ts. Dr. Janudin Sardi, Dekan Akademi Pengajian Bahasa, Ahli Pengurusan Tertinggi dan para pensyarah.

Matlamat majlis ini adalah untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada mahasiswa Akademi Pengajian Bahasa semester 2 hingga 6 yang mendapat keputusan PNG 3.50 dan ke atas pada semester lepas. Seramai 373 mahasiswa berjaya mencapai prestasi cemerlang pada semester lalu dan menerima Anugerah Dekan (AD) dalam majlis ini. Majlis ini juga dilihat mampu untuk menjadi pemangkin semangat kepada semua mahasiswa untuk bersungguh-sungguh mencapai Anugerah Dekan pada semester akan datang dan membuktikan bahawa pembelajaran atas talian bukanlah satu halangan cemerlang dalam pelajaran.

Tahniah diucapkan kepada kesemua penerima Anugerah Dekan pada sesi kali ini. Semoga mereka sentiasa mengekalkan kecemerlangan dalam semua aspek dan menjadi inspirasi kepada para pelajar lain. Pihak Akademi Pengajian Bahasa juga berharap untuk melihat jumlah bilangan Penerima Anugerah Dekan bertambah pada sesi yang seterusnya.