Program Khidmat Masyarakat : Fostering Technovators for the Future among Raub Secondary School Anjuran Bersama UiTM Dengkil dan UiTM Pahang di bawah Tajaan Yayasan TM

Dengkil, 23 Oktober 2023 – Pada tanggal 21 sehingga 22 Oktober 2023 yang lalu, program Khidmat Masyarakat Fostering Technovators for the Future among Raub Secondary School telah dijalankan dengan jayanya. Program ini merupakan siri ketiga rentetan kejayaan penganjuran siri pertama dan kedua. Siri ketiga yang dianjurkan oleh Unit Sains Komputer, UiTM Dengkil dengan kerjasama UiTM Raub ini adalah di bawah tajaan Yayasan Telekom Malaysia (YTM). Program ini merupakan sebahagian daripada projek TechEd: Technovators of The Future yang melibatkan peruntukkan berjumlah RM 142,700.00. Untuk siri ketiga ini, lima buah sekolah di Daerah Raub, Pahang telah dipilih sebagai sasaran program. Sekolah-sekolah yang terpilih ialah SMK Sega, SMK Gali, SMK Tengku Kudin, SMK Mahmud, dan SMK Dato’ Shahbandar Hussain. Program ini melibatkan 13 orang guru dan 50 orang pelajar. Meneruskan objektif yang sama dari siri pertama dan kedua, program ini bertujuan memberi pendedahan serta menanam minat para pelajar sekolah untuk belajar dan meneruskan pengajian dalam bidang STEM. Selain itu juga, program ini juga memberi pendedahan kepada guru-guru tentang teknologi yang dapat digunakan untuk membantu pelajar dalam mendalami bidang STEM.

Antara aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program yang berlangsung ialah ceramah pengenalan Arduino, bengkel hands-on Arduino serta pembangunan dan pembentangan projek Arduino oleh kumpulan pelajar. Sesi ceramah telah disampaikan oleh para pensyarah yang berpengalaman dari Unit Sains Komputer, UiTM Dengkil dan UiTM Raub serta dibantu oleh 20 fasilitator mahasiswa Asasi Kejuruteraan, UiTM Dengkil. Melalui program ini, pelajar dan guru dibekalkan dengan set kit Arduino beserta buku modul teori dan amali yang ditulis oleh para pensyarah dari Unit Sains Komputer, UiTM Dengkil. Selain dari itu, setiap sekolah turut dibekalkan dengan 10 set kit Arduino yang berjumlah hampir RM3000.00.

Di akhir program, satu pertandingan projek Arduino telah dijalankan. 10 kumpulan pelajar telah dibentuk dan dianggotai oleh 5 orang setiap kumpulan. Setiap kumpulan telah berjaya membangun dan membentang projek rekacipta yang dibangunkan menggunakan kit Arduino yang disediakan. Semua projek telah dijuri oleh 10 orang juri berpengalaman berdasarkan kriteria yang telah dtetapkan. Tiga buah sekolah telah dinobatkan sebagai pemenang iaitu SMK Tengku Kudin (Johan), SMK Gali (Naib Johan), SMK Dato’ Shahbandar Hussain (Tempat ke-3). Kategori projek terbaik telah dimenangi oleh SMK Gali dengan projek bertajuk β€œIntelligent Laundry Basket”. Semua hadiah telah disampaikan ketika Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah. Majlis ini telah dihadiri oleh YBrs Puan Ainol Shaharina Sahar (Pengarah Yayasan TM), YBhg Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Wan Abdul Rahman (Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Pahang), YBhg Prof. Ir. Dr. Ahmad Farid Abidin (Pengarah Pusat Asasi, UiTM Dengkil), YBrs Tuan Haji Ahmad Halimi Haji Harun (Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembelajaran, JPN Pahang), YBrs Dr. Saharani Abdul Rashid (Penolong Rektor, UiTM Raub), YBrs Ts Dr Syed Mohd Zahid Syed Zainal Arifin (Ketua Projek TechEd) serta YBrs Puan Zazaleena Zakariah dan YBrs Dr Juhaida Ismail selaku Pengarah Bersama Program Fostering Technovators for The Future Among Raub Secondary Schools, pegawai-pegawai YTM, Pegawai Pendidikan Daerah Raub, pengetua-pengetua sekolah, para pensyarah, para guru, para peserta, barisan jawatankuasa program dan mahasiswa UiTM Raub. Majlis penutup turut diserikan lagi dengan persembahan tarian sewang oleh pelajar Orang Asli, Menaleh Mai Hik dari SMK Tengku Kudin.

Pihak penganjur berharap dengan berakhirnya program ini, objektif program yang digariskan telah dapat dicapai dengan jayanya. Pihak penganjur juga berharap jalinan kerjasama ini dapat diteruskan bersama pihak sekolah dengan penubuhan kelab berkaitan seperti kelab robotik di sekolah masing-masing. Menerusi penubuhan kelab ini, pelbagai aktiviti berkaitan dengan STEM dapat terus dijalankan dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar. Akhir sekali, program khidmat masyarakat ini sekaligus telah mewujudkan hubungan yang baik di antara universiti dan komuniti setempat.