Program Khidmat Masyarakat Dan Pemindahan Teknologi Solar 2.0 UiTM Cawangan Perak

Pada 18 Mac 2023, seramai 30 ahli jawatankuasa teknikal UiTM Cawangan Perak, 15 kakitangan Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dan lebih 50 orang warga penduduk telah terlibat menjayakan pemasangan 12 unit lampu solar untuk pondok wakaf dan laluan jalan di sekitar Taman Puncak Iskandar, dekat Bandar Seri Iskandar di bawah program Gotong Royong Perdana dan Program Pemindahan Teknologi Solar 2.0. Program pemindahan teknologi solar ini adalah merupakan hasil kolaborasi UiTM Cawangan Perak bersama pihak MDPT dan KRT Puncak Iskandar dan ianya merupakan kesinambungan daripada program yang telah dijalankan pada tahun 2022 yang lalu bersempena Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Hijau Daerah Perak Tengah 2030.

Program pemasangan lampu solar ini tidak hanya bertujuan untuk mengalakkan penggunaan teknologi hijau dalam reka bentuk alam sekitar malahan ianya merupakan satu inisiatif untuk meningkatkan keselamatan dan pencegahan jenayah di kawasan kediaman. Justeru, perlaksaan program ini bertepatan dengan agenda nasional negara ke arah usaha memperkukuh keselamatan, kesejahteraan, dan inklusiviti seperti dinyatakan pada tema 2 menerusi Rancangan Malaysia Ke 12 Tema 2. Program ini juga sejajar dengan agenda global menerusi Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG) untuk mencapai matlamat No 7 (Tenaga Mampu dan Bersih) dan No 11 (Bandar dan Komuniti Lestari).

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Dipertua MDPT, Tuan Mohd Syukri bin Azaari. Hadir bersama pada program ini Pengerusi KRT Puncak Iskandar, Penyelaras Kampus Hijau UiTM Perak Sr Dr Nur Azfahani bt Ahmad, pegawai-pegawai MDPT, ahli-ahli jawatankuasa program serta penduduk Taman Puncak Iskandar. Pada program ini telah diadakan aktiviti pemasangan oleh ahli jawatankuasa teknikal bersama penduduk di 7 lokasi utama di Taman Puncak Iskandar termasuk 4 taman permainan kanak-kanak, 1 pondok Wakaf KRT, 1 Bangunan Pusat KRT dan 1 lorong belakang Fasa 2A. Program separuh hari ini telah diisi dengan pelbagai aktiviti dan pengalaman yang memberi inspirasi kepada semua pihak.

Pada masa ini, UiTM Cawangan Perak di bawah inisiatif Kumpulan Kampus Hijau dan Kumpulan Penyelidikan Green Safe Cities (GreSafe) sedang giat menjalankan pelbagai aktiviti yang memfokuskan kepada komuniti yang berdaya tahan dan selamat untuk Malaysia. Ini termasuk aktiviti berkaitan pencegahan jenayah melalui reka bentuk alam sekitar, bandar selamat dengan persekitaran hijau dan bandar berdaya tahan dengan pengurusan teknologi hijau.