Program Khidmat Komuniti KOMSAT UiTM Cawangan Sabah

Pada 11 September 2023, Kompleks Makmal Sains Dan Agroteknologi (KOMSAT) UiTM Cawangan Sabah telah mengadakan Program Khidmat Komuniti (CSR) bertempat di Madrasah Islamiah Al-Munawwarah, Indah Permai, Kota Kinabalu. Madrasah ini mempunyai lebih kurang 250 pelajar untuk dua sidang iaitu sidang pagi untuk pelajar tahun 1 hingga 3 dan sidang petang untuk tahun 4 hingga 6. Program CSR ini telah mendapat sumbangan daripada warga UiTM Cawangan Sabah dan aktiviti CSR ini disertai oleh 10 orang Staf KOMSAT yang diketuai oleh Ts. Siti Aminah Mohammad, Koordinator KOMSAT.

Budaya membaca adalah sangat penting seperti dalam peribahasa melayu membaca jambatan ilmu. Oleh itu, tujuan CSR ini dijalankan adalah untuk membuat perpustakaan mini yang boleh digunakan oleh pelajar-pelajar sebagai ruangan membaca dan tempat menunggu. Dengan berkonsepkan DIY, pihak KOMSAT telah mereka bentuk dan memasang rak buku, menyediakan karpet, kerusi dan bantal kecil bagi memberi keselesaan kepada pelajar semasa menggunakan perpustakaan mini ini. Selain itu, terdapat juga beberapa poster berasaskan moral dan pendidikan Islam dipasang di sekitar sudut bacaan tersebut untuk memberi kefahaman kepada pelajar seperti cara mengambil wuduk, menjadi anak soleh dan solehah dan doa-doa pendek harian.. Dengan adanya program ini ia dapat membantu pihak Madrasah dalam memupuk budaya membaca di kalangan pelajar-pelajar selain mewujudkan hubungan kerjasama yang baik antara KOMSAT dengan komuniti setempat.

Program ini adalah satu usaha yang positif dan dapat memberi peluang khususnya kepada staf KOMSAT UiTM Cawangan Sabah dalam memberi sumbangan kepada komuniti setempat. Program ini dilihat dapat membantu dalam usaha memupuk budaya membaca dikalangan kanak-kanak. Dengan sokongan padu daripada pihak pengurusan UiTM Cawangan Sabah diharapkan lebih banyak lagi program seperti ini dilaksanakan.